Tuesday, February 11, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Musim hujan, hati-hati penyakit denggi!

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Susulan musim hujan lebat dan berkemungkinan risiko banjir pada masa ini, seluruh lapisan masyarakat disarankan untuk sentiasa mengambil langkah-langkah berwaspada bagi meningkatkan keselamatan dan kesihatan diri dan ahli keluarga serta insan-insan di sekeliling.

    Kepekaan itu adalah sebagai usaha untuk mencegah dan menghindar sebarang kemalangan, kecederaan dan kemungkinan berlakunya penyakit-penyakit berjangkit bawaan makanan serta air.

    Antara penyakit itu seperti kolera, cirit-birit dan keracunan makanan selain bawaan vektor seperti demam denggi dan sebagainya.

    Rasanya semua orang tahu demam denggi merupakan salah satu penyakit merbahaya yang boleh mengancam nyawa.

    Namun, hakikatnya berapa ramai yang mahu mencegah penularannya dari berleluasa yang bukan hanya pada kala musim hujan bahkan juga dalam kehidupan sehari-hari?

    Menyemai sikap ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’ perlu dalam kehidupan seharian. – Sumber diperolehi dari laman sesawang Kementerian Kesihatan
    Sumber diperolehi dari laman sesawang Kementerian Kesihatan
    Demam denggi adalah penyakit bawaan nyamuk aedes betina. – Gambar Hiasan

    Penyakit bawaan nyamuk aedes

    Penyakit demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk aedes betina yang disebabkan oleh jangkitan virus denggi. Secara lazimnya, tanda-tanda penyakit demam denggi akan bermula tiga hingga 14 hari selepas gigitan nyamuk.

    Simptom berlarutan selama dua hingga tujuh hari dan termasuk demam panas secara mengejut dan berterusan, sakit otot dan kurang tenaga.

    Kadangkala jangkitan virus denggi berpotensi menyebabkan tanda-tanda yang lebih teruk termasuklah pendarahan dan kematian. Ini dikenali sebagai dengue haemorrhagic fever (DHF).

    Secara umumnya, terdapat empat jenis serotip virus denggi yang telah dikenal pasti (DEN 1, 2, 3 dan 4). Ia berlaku apabila seseorang yang dijangkiti oleh salah satu jenis serotip virus denggi dan seterusnya dijangkiti oleh jenis serotip yang lain maka hal itulah yang akan meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat DHF.

    Kebiasaan nyamuk aedes itu mudah membiak dalam takungan air sama ada di dalam atau di luar rumah seperti di pasu-pasu bunga, longkang-longkang yang tersumbat dan botol-botol plastik serta bekas-bekas tayar yang digunakan sebagai gubahan landskap.

    Begitu juga di tempat-tempat takungan air yang tidak tertutup rapat seperti tangki air, baldi, tajau dan sebagainya serta sampah sarap yang boleh menakung air seperti tin-tin kosong, bekas-bekas tayar yang terbiar, botol-botol kosong dan bekas kotak makanan.

    Langkah berterusan Kementerian Kesihatan

    Seperti yang kita semua ketahui, setakat ini tidak ada rawatan khusus bagi merawat penyakit demam denggi dan hanya lebih tertumpu kepada rawatan sokongan untuk melegakan tanda-tanda jangkitan dan pemantauan rapi di hospital, jika diperlukan.

    Sehubungan dengan itu, menurut Kementerian Kesihatan, bagi setiap kes penyakit bawaan nyamuk yang dilaporkan, beberapa langkah berikut akan dilaksanakan iaitu pengesanan kontak iaitu pemeriksaan orang-orang terdekat kepada kes untuk memastikan tidak ada orang lain yang mempunyai tanda-tanda penyakit serupa.

    Ujian juga dilakukan kepada mana-mana orang terdekat yang didapati mempunyai tanda-tanda penyakit.

    Selain itu, langkah entomological surveillance dijalankan iaitu pemeriksaan entomologi di persekitaran kawasan rumah dan kawasan-kawasan yang sering dikunjungi oleh penghidap penyakit bagi memastikan jenis vektor yang mungkin berada di kawasan tersebut dapat dikawal dan sekali gus dihapuskan dari semasa ke semasa.

    Begitu juga vector control activities iaitu pengawalan vektor melalui penggunaan bahan-bahan racun serangga bagi memusnahkan nyamuk dewasa dan jentik-jentik akan dijalankan.

    Dalam pada itu, pemantauan dan pengawalan serangga juga dilakukan secara rutin, terutamanya di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti sebagai titik panas tempat-tempat pembiakan dan kelompok kes.

    Namun perlu diketahui bahawa penyemburan racun serangga hanyalah kaedah alternatif yang bersifat sementara.

    Oleh itu, untuk pengawalan jangka panjang yang lebih berkesan, penjagaan persekitaran yang bersih dan bebas dari tempat menjadi punca pembiakan nyamuk adalah lebih utama.

    Mencegah lebih baik daripada mengubati

    Meskipun kes demam denggi di negara ini berada dalam situasi yang dapat dikawal.

    Namun alangkah baiknya jika kita menyemai sikap ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’ dalam kehidupan seharian dan sememangnya pendidikan secara menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat merupakan kunci utama dalam sama-sama memerangi wabak demam denggi ini.

    Langkah-langkah pencegahan perlulah diutamakan, antaranya memastikan kita sentiasa menjaga kebersihan persekitaran rumah dan bangunan masing-masing.

    Begitu juga memastikan membuang takungan air dan sampah sarap secara kerap dan teratur terutamanya yang boleh menakung air serta menjadi punca pembiakan nyamuk aedes dan mencuci bekas-bekas tersebut dengan bersih untuk memusnahkan sisa-sisa telur nyamuk.

    Hal ini kerana telur-telur nyamuk boleh bertahan di tempat yang kering selama enam bulan dan sebaik saja telur-telur tersebut terdedah kepada air, telur-telur tersebut boleh menetas dalam masa tujuh hari.

    Oleh yang demikian, pembabitan semua pihak dalam membantu pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dalam menangani bahaya penyakit demam denggi ini adalah menjadi tanggungjawab bersama.

    Bukan hanya setakat mewujudkan kesedaran semata-mata bahkan apa yang penting ialah bersama-sama kita menjadi masyarakat yang berperanan aktif dalam membanteras penyakit ini dengan lebih efektif dan efisien dari semasa ke semasa seperti menerusi kempen bergotong-royong di samping memanfaatkan teknologi digital melalui persembahan drama, pembuatan video pendek dan kesedaran bahayanya denggi menggunakan platform media sosial demi satu matlamat utama untuk sentiasa menyalurkan maklumat mengenai langkah pencegahan aedes daripada membiak, sampai kepada kumpulan sasaran.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda