Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Negara Brunei Darussalam ketika ini mengalami keadaan cuaca tidak menentu termasuk panas dan kering yang boleh mencetuskan kebakaran hutan dan belukar serta merebak luas jika tidak dikawal.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataannya hari ini, menyatakan tahun ini bermula Januari hingga 25 April, sebanyak 87 panggilan telah direkodkan yang melibatkan kebakaran hutan dan belukar dengan menjejaskan 73 hektar tanah di keempat-empat daerah.
Sementara itu pada 24 April lalu, empat buah jentera dan seramai 27 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Rimba serta bantuan dari Balai Bomba Lambak Kanan dan Balai Bomba Unit Operasi Wanita dikejarkan ke insiden kebakaran hutan di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba dengan diketuai oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi C.
Setibanya anggota bomba di lokasi kejadian, mereka mendapati api besar membakar kawasan hutan di sekitar Jalan 99, RPN Kampung Rimba.
Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memadam kebakaran menggunakan beberapa hos air dan bantuan tangki air jentera bomba serta pili-pili bomba yang berdekatan.
Anggota bomba juga menggunakan snap tank dan ranting-ranting kayu bagi memadam kebakaran yang jauh ke dalam hutan dengan keluasan kebakaran dianggarkan mencecah 15 hektar di atas tanah kerajaan.
JBP menyatakan dalam operasi itu, anggota bomba yang terlibat terpaksa memadam kebakaran jauh ke dalam hutan, di lereng bukit-bukau dan berdekatan kawasan perumahan yang mencabar untuk dipadamkan bagi memastikan ia tidak melarat dan berlarutan dengan punca api masih dalam siasatan dan tidak ada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu.
Sehubungan dengan itu, JBP menyarankan orang ramai supaya menggelakkan daripada melakukan pembakaran terbuka bagi tujuan membersihkan kawasan perumahan atau bertujuan untuk bercucuk tanam dan sebagainya.
Orang ramai juga disarankan untuk membantu memadam kebakaran hutan atau belukar kecil tanpa membahayakan diri sendiri, manakala bagi penggemar aktiviti riadah dalam hutan, untuk mengelak daripada membuat nyalaan api dan jika perlu untuk memastikan bara-bara api dipadamkan sepenuhnya sebelum meninggalkan tempat berkenaan serta memastikan kawasan rumah mempunyai jarak keselamatan kebakaran sekurang-kurangnya 50 meter dari pokok atau hutan demi menjaga keselamatan.