Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JAN – Setelah bercuti kira-kira sebulan, murid-murid dan pelajar kembali bersekolah bagi musim persekolahan 2023, hari ini.
Seperti lazimnya hari pertama persekolahan, keadaan dan suasana di sekolah-sekolah menjadi sibuk dan kelam-kabut dengan ibu bapa mengejar masa menghantar anak mereka ke sekolah, para pelajar kalut mencari kelas masing-masing dan guru-guru tegang memastikan sukatan pelajaran bagi 2023 berjalan dengan lancar.
Bagi kebanyakan pelajar, tanggal 3 Januari amat bermakna bagi mereka kerana pada saat itu mereka melangkah ke alam baharu dan bergelar pelajar dan murid sekolah.
Manakala itu, bagi yang memulakan pendidikan menengah, hari ini merupakan satu pencapaian yang amat bermakna kerana mereka telah meninggalkan bangku sekolah rendah dan menuju ke arah alam persekolahan menengah yang lebih mencabar serta memerlukan komitmen yang lebih tinggi dalam pelajaran untuk terus berjaya.
Saat itu juga merupakan langkah pertama mereka memasuki alam remaja dan meninggalkan zaman kanak-kanak serta teman-teman yang menemani diri mereka di sekolah rendah dahulu.
Sesi persekolahan penggal pertama bagi tahun Akademik 2023 bagi semua sekolah rendah, menengah dan maktab serta pusat tingkatan enam kerajaan dan swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan sekolah-sekolah agama dan Arab di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama bermula, hari ini.
Sementara itu, sekolah-sekolah antarabangsa dan pusat-pusat latihan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) serta institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) akan bermula mengikut kalendar akademik masing-masing.
Meskipun situasi jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam dalam keadaan terkawal, Kementerian Pendidikan sentiasa mengambil berat akan kesejahteraan, kebersihan dan keselamatan warga sekolah dalam memastikan sesi pembelajaran akan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Kementerian Pendidikan menyatakan pelaksanaan ujian saringan kendiri (ART) adalah digalakkan secara berkala di rumah dan di bawah tanggungan masing-masing dan pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan.
Walau bagaimanapun, pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan bagi warga sekolah dan institusi pendidikan yang mempunyai tanda-tanda jangkitan untuk hadir ke sekolah.
Kementerian Pendidikan juga memohon kerjasama ibu bapa serta penjaga untuk sama-sama memastikan anak-anak mereka mengikut semua garis panduan dan peraturan yang telah disediakan demi menjaga kemaslahatan warga sekolah.