Sunday, November 24, 2024
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muslim AS gesa Trump tunai janji untuk akhiri konflik Gaza

    WASHINGTON, 7 NOV – Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) menggesa Presiden terpilih Donald Trump  mengutamakan untuk menunaikan janji kempen pilihan rayanya bagi meneruskan keamanan di luar negara, termasuk menamatkan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

    Kumpulan Muslim Amerika itu turut meminta pegawai Demokrat untuk mengambil pengajaran daripada kehilangan sokongan Naib Presiden Kamala Harris dalam kalangan Muslim dan pengundi lain yang menentang genosid di Gaza, lapor Agensi Anadolu.

    Pengarah Eksekutif Kebangsaan CAIR, Nihad Awad dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tiada ahli politik atau parti yang memiliki undi Muslim.

    “Melangkah ke hadapan, kami mengharapkan semua pegawai yang dipilih untuk benar-benar menangani kebimbangan mendesak pengundi Muslim. Ini termasuk Presiden Terpilih Trump,” kata Awad, sambil menambah bahawa Trump berjanji untuk menamatkan pertumpahan darah di Gaza dan mengecam dasar bekas Presiden AS George Bush serta Naib Presidennya Dick Cheney yang menyebabkan kekacauan di dunia Islam.

    “Adalah penting bagi Presiden Terpilih Trump untuk mengakui sekarang bahawa kebanyakan rakyat Amerika, termasuk Muslim Amerika yang menyokongnya, tidak mahu melihat lebih banyak ketaksuban di dalam negara atau lebih banyak peperangan di luar negara,” kata Awad.

    “Presiden terpilih harus menunaikan janji kempennya untuk mengejar keamanan di luar negara, termasuk dengan menamatkan konflik di Gaza. Namun, ini mestilah keamanan sebenar yang berasaskan keadilan, kebebasan dan sebuah negara untuk rakyat Palestin.”

    Trump melepasi 270 undi Badan Perwakilan Pemilih yang diperlukan untuk memenangi pemilihan semula pada awal Rabu, dan kini mengumpul 292  undi perwakilan berbanding Harris yang memperoleh 224, menurut Associated Press.

    “Kami mengatasi halangan yang tidak pernah difikirkan oleh sesiapa pun,” kata Trump dalam ucapan kemenangannya di negeri Florida kelmarin. “Ini benar-benar akan menjadi zaman kegemilangan Amerika.”

    Trump akan dilantik untuk penggal kedua di Rumah Putih pada 20 Jan 2025. Harris, sebagai naib presiden dijadualkan menyelia upacara angkat sumpah di Capitol. – Bernama

    Donald Trump semasa berkempen di East Del Valle, Austin, Texas pada 25 Oktober. Trump digesa laksanakan janji akhiri konflik Gaza. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda