Friday, March 14, 2025
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cef Wan mahu jaga ibu

    Muzik, terapi efektif penghidap demensia

    Gambar AFP

    SINGAPURA – Di bawah lampu disko yang berkelipan, penghuni sebuah rumah penjagaan di Singapura berganding tangan dan menari mengikut irama lagu-lagu nostalgia sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk membantu mereka yang menghidap penyakit demensia.

    Mereka menari mengikut rentak hits dari tahun 1940an hingga 1980an selama lebih kurang satu jam dengan format disko senyap, sambil mendengar lagu-lagu tersebut melalui fon kepala.

    Senarai main khas yang dipilih untuk menggalakkan pergerakan mereka merangkumi lagu-lagu dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Cina di Apex Harmony Lodge, tempat penjagaan khas bagi warga emas yang menghidap demensia.

    “Sebenarnya saya tidak tahu menari, saya hanya bermain-main. Saya bersemangat,” kata Christine Chong, 54 tahun, yang menghidap demensia awal dengan berjenaka.

    Seorang penghuni lain, Goh Kian Ho, 63 tahun, menyanyi dengan penuh semangat sambil menghentak kaki dan bertepuk tangan mengiringi sebuah lagu Hokkien.

    Warga emas yang mengalami demensia berpegangan tangan dan menari mengikut irama lagu-lagu nostalgia sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk membantu mereka yang menghidap penyakit tersebut.
    Kumpulan warga emas yang mengalami demensia semasa mengikuti program terapi muzik di Apex Harmony Lodge di Singapura.
    Warga emas yang menghidap demensia menari mengikut rentak hits dari tahun 1940an hingga 1980an selama lebih kurang satu jam dengan format disko senyap, sambil mendengar lagu-lagu tersebut melalui fon kepala.
    Penduduk yang mengalami demensia menyertai disko senyap di Apex Harmony Lodge di Singapura.
    Johnson Soh memulakan inisiatif itu selepas bapanya didiagnosis dengan demensia dan terapi muzik dari generasi bapanya itu nampaknya membantu.
    Dikenali sebagai ‘Kembali ke Tea Dance,’ untuk menghidupkan kenangan gembira tarian yang popular dalam kalangan golongan muda di Singapura dahulu kala pada tahun 1960an.

    “Alangkah indahnya jika kita boleh bermain dan menyanyi bersama,” katanya.

    Apabila kumpulan itu mula merasa penat selepas menari dan bergembira, DJ memperlahankan irama dengan melodi terkenal daripada penyanyi legenda Taiwan, Teresa Teng berjudul The Moon Represents My Heart yang sangat disukai pada tahun 1970an.

    Seorang fasilitator memimpin kumpulan itu untuk mengayun tangan dan badan sambil mendengarkan dengan rasa penuh kasih lagu balada romantis yang abadi itu.

    Seperti kebanyakkan negara Asia yang lain, Singapura kini menghadapi cabaran populasi yang menua dan kadar kes demensia yang meningkat.

    Kementerian Kesihatan Singapura menganggarkan bahawa 86,000 orang iaitu satu daripada 10 orang yang berusia 60 tahun ke atas telah menghidap demensia, dan angka tersebut dijangka meningkat kepada 152,000 menjelang tahun 2030.

    Penyelidikan menunjukkan bahawa terapi muzik boleh membantu individu dengan penyakit tertentu seperti penyakit Alzheimer, yang merupakan jenis demensia yang paling biasa dan bermula dengan kehilangan ingatan serta boleh menyebabkan kesukaran dalam perbualan dan kognisi.

    “Kami memainkan lagu-lagu lama, dan kemudian lagu-lagu ini membantu merangsang… emosi penghuni kami yang sering dikaitkan dengan kenangan-kenangan tertentu dari masa lalu mereka, ini membantu memberikan rasa kefahaman dan keselesaan kepada penghuni,” kata Grace Wong, seorang penyelidik psikologi di Apex Harmony Lodge.

    Disko senyap itu, yang diadakan setiap minggu, diilhamkan oleh acara serupa di rumah penjagaan di UK dan Australia.

    Ia disesuaikan dengan selera muzik tempatan oleh Johnson Soh, seorang warga Singapura dan bekas eksekutif muzik yang telah menubuhkan syarikat tersendiri yang menawarkan program muzik untuk golongan warga emas.

    Soh memulakan inisiatif itu selepas bapanya didiagnosis dengan demensia dan terapi muzik dari generasi bapanya itu nampaknya membantu.

    “Beliau adalah subjek percubaan pertama saya sebenarnya… kesedarannya meningkat,” kata Soh.

    Lebih daripada 10 institusi di Singapura telah mengambil program itu sejak ia bermula pada tahun 2019, menurut Soh.

    Dikenali sebagai Return to Tea Dance, inisiatif itu bertujuan untuk menghidupkan kenangan gembira tarian petang minggu yang popular dalam kalangan golongan muda di Singapura pada tahun 1960an.

    “Setiap orang mempunyai lagu tema tersendiri dalam kehidupan mereka, jadi pasti ada muzik yang memberikan kesan suatu ketika dahulu dalam hidup awda,” kata Soh.

    “Kesannya tidak dapat diterangkan, saya rasa muzik adalah sesuatu yang benar-benar menggerakkan orang,” jelasnya.

    Sementara itu, warga emas yang menari meneruskan perjalanan nostalgia mereka sambil menyanyikan lagu Que Sera Sera nyanyian Doris Day dengan penuh semangat.

    “Apapun yang akan jadi, akan terjadi,” ujar Soh. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda