ROCHESTER, 13 NOV – Setelah bertahun-tahun dilihat sebagai tidak popular, kuda mainan kecil berwarna pastel akhirnya diabadikan dalam Hall of Fame Mainan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) bersama dengan figura aksi Transformers dan permainan kad Phase 10, kelmarin.
Penerima penghormatan itu berjaya menduduki tempat teratas menerusi undian panel pakar dan orang awam, mengatasi 12 finalis lain. Calon-calon tahun ini termasuk permainan parti Apples to Apples, belon, buku permainan Choose Your Own Adventure, Trak Mainan Hess, Pokemon Trading Card Game, kenderaan kawalan jauh, Sequence, kuda kayu dan trampolin.
“Tiga mainan ini sangat layak kerana mewakili kepelbagaian cara bermain,” kata Naib Presiden Koleksi dan Ketua Kurator, Christopher Bensch, dalam satu kenyataan.
“Namun bagi My Little Pony, pencapaian tahun ini lebih bermakna. Mainan yang digemari ramai ini telah tujuh kali menjadi finalis sebelum berjaya akhirnya!” ujarnya.
Kuda mini keluaran Hasbro, yang dapat dikenali melalui cutie marks berbeza pada bahagian pinggulnya, mula diperkenalkan pada 1980an dan diperkenalkan semula pada 2003, mengatasi jualan Barbie selama beberapa tahun.
Koleksi tersebut diiktiraf kerana menggalakkan fantasi dan penceritaan – sejenis permainan kreatif yang menjadi kriteria penting untuk kemasukan ke Hall of Fame – selain populariti yang kekal sepanjang masa.
“Faktor yang menjadikan My Little Pony kekal relevan adalah gabungan bentuk permainan boneka tradisional dengan daya tarikan terhadap kuda,” kata kurator boneka dan mainan, Michelle Parnett-Dwyer.
“Kepelbagaian figura ini juga menggalakkan aktiviti mengumpul sebagai hobi,” tambahnya.
Permainan kad Phase 10 pula diperkenalkan oleh pencipta Ken Johnson pada 1982. Kini, Mattel menjual dua juta dek kad permainan itu setiap tahun di 30 negara dalam lebih 20 bahasa. – AP