Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Myanmar: Rakyat ‘setia’ dibenar bawa senjata api

    BANGKOK, 14 FEB – Kerajaan tentera Myanmar bercadang untuk membenarkan orang yang “setia kepada negara,” termasuk kakitangan kerajaan dan kakitangan tentera yang telah bersara, membawa senjata api berlesen.

    Tetapi mereka mesti mematuhi arahan daripada pihak berkuasa tempatan untuk mengambil bahagian dalam tindakan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang, menurut tentera dan laporan media.

    Pengumuman itu menimbulkan kebimbangan mengenai lebih banyak lagi keganasan di negara yang dilanda perang saudara, menurut beberapa pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

    Tentera merampas kuasa daripada kerajaan Aung San Suu Kyi yang dipilih dua tahun lalu, mencetuskan protes aman meluas yang bertukar menjadi penentangan bersenjata selepas pasukan keselamatan menggunakan kekerasan yang membawa maut untuk menindas semua pembangkang.

    Dokumen setebal 15 muka surat mengenai dasar senjata api baharu yang dikaitkan dengan Kementerian Dalam Negeri pada mulanya diedarkan di akaun Facebook dan saluran Telegram pro-tentera.

    Ia juga diterbitkan oleh saluran berita pro-tentera dan bebas, yang menyatakan bahawa ia telah dikeluarkan pada 31 Januari selepas diluluskan pada Disember lalu dalam mesyuarat kabinet.

    Dasar baharu itu akan membolehkan orang yang berumur 18 tahun ke atas dilesenkan untuk membawa beberapa jenis senjata api dan peluru.

    Dokumen itu mengatakan, penerima permit senjata mesti “setia kepada negara, bermoral baik” dan tidak terlibat dalam mengganggu keselamatan negara.

    Ia juga mengatakan pemegang lesen mesti patuh apabila diarahkan oleh pihak berkuasa tempatan untuk mengambil bahagian dalam tindakan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang.

    Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Zaw Min Tun mengesahkan dasar itu Ahad lalu kepada perkhidmatan BBC berbahasa Burma, berkata ia perlu dikeluarkan kerana sesetengah orang meminta untuk membawa senjata bagi melindungi daripada serangan kumpulan antitentera. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda