KOKOMO, 14 APRIL – Myrtle, seekor kura-kura peliharaan kesayangan, telah disatukan semula dengan pemiliknya di Mississippi, selepas beberapa minggu hilang ketika kejadian puting beliung pada bulan Mac.
“Reptilia itu telah melalui banyak perkara,” kata Tiffany Emanuel, pemilik Myrtle yang bersyukur haiwan peliharaannya itu telah selamat.
Tambahnya lagi, “Saya tahu kura-kura itu faham, sama seperti saya, setiap langkah yang diambil, saya akan sentiasa ada menemani, menjaga serta memastikan Myrtle akan mendapat bantuan yang diperlukan.”
Keluarga Emanuel melarikan diri dari rumah mereka di kawasan luar bandar Kokomo ketika puting beliung melanda kawasan tersebut pada 15 Mac.
Apabila mereka kembali, dua batang pokok pain telah tumbang di atas tempat tinggal Myrtle di halaman belakang rumah mereka. Setelah kejadian itu, mereka dapati Myrtle telah hilang.
Beberapa minggu kemudian, seorang jiran telah menemui seekor kura-kura yang tercedera, lalu membawa binatang tersebut ke Pusat Penyelamat Kura-Kura Mississippi Tengah untuk rawatan perubatan.
Pengasas dan pengarah bersama organisasi pusat penyelamat tersebut, Christy Milbourne berkata, “Wanita yang menemui kura-kura itu menghubungi saya dan memberitahu dia telah berjumpa dengan pemiliknya.”
Tambahnya lagi, “Dia kata, ‘Saya rasa mereka akan menghubungi awak.’ Jadi, saya pun teruja.
Kemudian pemilik kura-kura itu menghubungi saya dan menyatakan, ‘Ya, itu kura-kura saya.’”
Emanuel yang kini sedang merawat Myrtle dalam proses pemulihan berkata, “Saya merasa lega bila ada sesuatu yang menggembirakan di tengah-tengah segala kesedihan dan kehilangan.” – AP
