Penyanyi, pelakon dan kini mentor popular Malaysia, Juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34, Naim Daniel, terpanggil untuk menyanyikan semula lagu penuh kerohanian terfenomena suatu ketika dahulu oleh kumpulan nasyid bertaraf lagenda, Raihan menerusi lagu Ya Rasulallah 1444 ciptaan komposer tersohor dan penuh berpengalaman iaitu Abu Bakar Md. Yatim, terbitan eksklusif oleh label rakaman terkenal, Warner Music Malaysia.
Walaupun sibuk dengan jadual seni yang padat seperti aktiviti lakonan dan juga menjadi mentor program Terpaling Juara, Naim masih lagi memperuntukkan waktu untuk bidang nyanyian.
Naim menjelaskan walaupun bidang lakonan merupakan cinta pertamanya, namun bidang nyanyian adalah ‘kekasih hati’ dan mana mungkin dia terus sibuk dengan cabang seni lain tanpa bernyanyi.
Lagu Ya Rasulallah yang asal mula dilancarkan sekitar 23 tahun lalu pada 1999 merupakan di antara lagu paling hit pernah dihasilkan oleh Raihan dan mendapat sambutan bukan sahaja di rantau Asia Tenggara bahkan di Eropah seperti United Kingdom.
Jelas salah seorang anggota Raihan, Che Am berkata, mereka sepakat memilih Naim kerana pernah melihatnya menyanyikan lagu ini dan senang mendengar versi yang dibawakannya.
Sebagaimana yang diketahui umum, lagu ini menceritakan tentang kerinduan yang mendalam buat junjungan kita, Nabi Muhammad SAW tentang keperibadiannya.
Namun menurut Naim, baginya lagu ini merupakan ‘surat cinta’ buat seseorang yang sangat kita sayangi dan rindui, rasa cinta, rasa kasih serta mengenang perjuangan Rasulullah SAW dalam memartabatkan Islam tidak dapat digambarkan hanya dengan kata-kata.
Selain single, sebuah video muzik (MV) turut dihasilkan dengan memaparkan jalan cerita yang straightforward hanya melalui ekspresi nyanyian mengagungkan sifat-sifat Rasulullah SAW.
Tambah Naim, selain berpeluang bekerja dengan mereka yang berpengalaman dan boleh dianggap ‘legend’ banyak yang saya pelajar dan fahami apa erti perjuangan artis-artis sebelum saya. – Agensi