Oleh Rafidah Jumat
JIKA Malaysia terkenal dengan nasi lemak, Indonesia dengan ayam penyet dan Thailand dengan hidangan tomyam, Brunei pula terkenal dengan nasi katoknya.
Nasi katok bukanlah satu hidangan asing bagi masyarakat di negara ini kerana ia merupakan salah satu makanan yang pasti tidak ditolak oleh sesiapa sahaja.
Resipi asas nasi katok biasanya nasi putih, seketul ayam goreng dan sambal yang dibungkus menggunakan kertas makanan berwana coklat.
Nasi katok boleh dilabelkan sebagai makanan ringkas yang sangat popular di negara ini dan dijadikan makanan pilihan harian sama ada dijamu pada waktu pagi, tengah hari mahupun malam.
Harga yang murah juga mendorong makanan popular ini mudah didapati di mana-mana gerai, kedai ataupun rumah.



Menurut cerita, nasi katok bermula sejak tahun 1960an lagi oleh sebuah keluarga Cina yang berniaga nasi secara kecil-kecilan di rumahnya di flat kawasan Mabohai.
Menariknya, pelanggan yang ingin mendapatkan nasi mereka (nasi lemak dan pusu) akan datang sendiri ke flat itu dan mengetuk pintu.
Dari sinilah bermulanya nama nasi katok iaitu dari ketuk pintu atau dalam Bahasa melayu Brunei, katok.
Sejak dari itu, nasi katok mendapat tempat di hati masyarakat Melayu kerana ia mudah didapati tanpa mengira hari dan waktu dan satu demi satu, perniagaan nasi katok bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan apatah lagi ia tidak memerlukan modal yang banyak.
Jika dahulu, hidangan asas nasi katok hanyalah nasi putih, ayam goreng dan sambal pusu tetapi sekarang diubahsuai dengan berbagai pilihan sambal seperti tahai, udang, nanas, keju, balado, ikan dan sebagainya.
Manakala ayam gorengnya turut diolah menjadi ayam goreng bersalut tepung, madu, berempah atau panggang dan terdapat juga yang menukar ayam goreng kepada daging, sotong, udang, ikan atau hati buyah sesuai dengan kehendak pelanggan.
Bukan sekadar hidangan biasa tetapi nasi katok yang menjadi sajian harian kini menjadi lambang keunikan negara ini.