KUALA LUMPUR – Atlet gusti lengan Malaysia, Navinder Kaur Thandal (gambar-Bernama) yang sedang meningkat naik, kini dalam misi memecah stereotaip jantina dalam sukan itu.
Beliau percaya wanita juga boleh cemerlang dalam gusti lengan – dengan syarat mereka perlu membina kekuatan, teknik dan strategi untuk berjaya.
Jurulatih kecergasan dan model bebas itu, yang juga naib juara Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan Malaysia 2023 yang berlangsung pada 18-19 Mac, percaya jantina bukan penentu utama kepada kekuatan dan keupayaan.
“Walaupun gusti lengan sering dilihat sebagai sukan yang didominasi lelaki, wanita juga boleh cemerlang dalam sukan itu menerusi latihan yang konsisten, teknik yang betul dan pendekatan strategik,” kata Navinder dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di Wisma Bernama baru-baru ini.
Navinder, lulusan ijazah sarjana muda kelas pertama dalam pembangunan keusahawanan, berkata langkah paling penting dalam memecahkan stereotaip jantina dalam gusti lengan adalah melalui pendidikan yang harus bermula di peringkat awal sekolah.
“Kanak-kanak sekolah, (sama ada) lelaki atau perempuan, patut diajar gusti lengan kerana ini akan mencetus kesedaran dalam kalangan mereka bahawa gusti lengan bukan sukan yang didominasi lelaki,” kata pempengaruh media sosial yang dibesarkan di Kluang, Johor itu.
Mencerita detik penglibatan awal dalam sukan itu, Navinder berkata semuanya bermula selepas menerima e-mel daripada Persatuan Gusti Lengan Putrajaya yang mencari atlet wanita untuk menyertai sukan itu.
Setakat ini beliau telah menyertai tiga kejohanan gusti lengan di Malaysia dalam tempoh dua tahun. Kejohanan sulungnya berlangsung di Pandamaran, Klang, tahun lepas dan akan menyertai Kejohanan Gusti Lengan Dunia 2023 di Malaysia September ini.
Mengulas lanjut mengenai rejim latihannya, Navinder berkata beliau kini cuba menguasai Top Roll – satu daripada gerakan asas dalam gusti lengan.
“Matlamat saya sebenarnya untuk mempertahan kedudukan lengan saya selagi boleh di atas meja,” katanya yang mengamalkan meditasi, latihan kekuatan dan angkat berat untuk memastikan dapat memberi tumpuan pada setiap pertarungan.
Navinder turut menjelaskan tanggapan salah mengenai gusti lengan iaitu peserta tidak dibenarkan menggerakkan badan semasa bertanding.
Beliau berkata peserta dibenarkan menggunakan berat badan mereka dalam beberapa cara berbeza untuk mengurangkan risiko kecederaan.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Gusti Lengan Malaysia Mohd Zil Fadli Abd Halim yang melatih Navinder, berkata wanita itu kini menjalani latihan kekuatan dan kondisi bagi meningkatkan kemahiran gusti lengan dan membina otot menjelang kejohanan dunia.
Mohd Zil berkata beliau telah membangunkan latihan khusus intensif untuk Navinder mulai pertengahan bulan ini bagi persiapan menghadapi kejohanan dunia itu. –Bernama