Friday, February 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nazrey Johani derita psoriasis

    Bekas anggota kumpulan Raihan, Nazrey Johani mendedahkan bahawa dirinya menderita penyakit psoriasis sejak 17 tahun lalu membuatkan dia jarang bertemu dengan orang ramai.

    Kata Nazrey, 51, disebabkan penyakitnya itu dia tidak mampu bertahan lama dalam keadaan cuaca panas mahupun sejuk sekali gus membuatnya rasa tidak sedap badan.

    Nazrey berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Konsert Saujana 25 Tahun yang berlangsung di ibu kota, baru-baru ini.

    Nazrey yang terlihat pucat ketika itu berkata suhu rendah membuatkan dia terlihat seakan-akan tidak sihat kerana menahan kesejukan penghawa dingin.

    “Penghawa dingin macam ini saya tak tahan. Saya sekarang ini mungkin nampak pucat sikit sebab menahan sejuk sahaja… nampak pucat sikit sebab saya tahu saya belum sihat sepenuhnya,” kongsinya.

    Pun begitu, Nazrey menganggap bahawa ini semua ujian Allah SWT yang diberikan kepadanya ketika melakukan dakwah serta untuk mencari dana buat pembangunan madrasahnya.

    “Doktor kata psoriasis boleh disebabkan tekanan. Apa pun ini ujian Allah kepada saya untuk meneruskan kerja-kerja dakwah, mencari dana, dan menguruskan madrasah.”

    Dalam pada itu, Nazrey memberitahu jemputan daripada rakan-rakan nasyid membuatkan dia gagahkan diri untuk terbang dari Sabah ke Kuala Lumpur meskipun kesihatannya dalam keadaan tidak menentu.

    “Jemputan untuk konsert Saujana ini saya usahakan semampunya untuk tunaikan, banyak jemputan lain sebenarnya.

    “Saya tak dapat nak jayakan tapi Alhamdulillah berbeza dengan jemputan kawan-kawan dan sahabat seperjuangan saya ini. Kalau rasa tidak sihat pun, kena usaha untuk sihat,” ujarnya lagi. – Agensi

    Nazrey menderita psoriasis selama 17 tahun menyebabkan dia kurang aktif dan susah bertemu orang. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda