Monday, February 3, 2025
27.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Neelofa tukar waktu tidur menjelang Ramadan

    Menjelang 28 hari sebelum tibanya Ramadan, pengacara Neelofa sudah mula mengubah gaya hidup dengan menukar waktu tidur lebih awal.

    Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor, 36, berkata, tindakan itu bagi mengelakkan perubahan drastik memandangkan perlu bangun lebih awal sepanjang bulan puasa.

    Kata Neelofa, dia biasanya akan bangun seawal pukul 4 pagi sepanjang Ramadan dan biasanya akan tidur selepas selesai solat Tarawih.

    “Saya akan tukar waktu tidur saya. Kalau awda selalu tidur pukul 12 tengah malam atau 1 pagi, jadi bermula sekarang awda kena mula tidur awal.

    “Macam tahun lepas, balik solat Tarawih saya terus tidur sebab akan bangun seawal pukul 4 pagi.

    “Jadi memang kena paksa tukar waktu tidur supaya nanti tidaklah rasa drastik sangat,” katanya.

    Neelofa berkongsi perkara itu menerusi sebuah video di TikTok miliknya.

    Dalam pada itu, pelakon ini memberitahu akan menyediakan bahan makanan (meal prep) untuk berbuka puasa lebih awal dengan menyenaraikan jenis juadah untuk suami dan anak-anak.

    Katanya, dia tidak mahu menghabiskan banyak masa di dapur kerana ingin memberi fokus melakukan amalan lain seperti berzikir dan membaca al-Quran.

    “Daripada senarai juadah saya akan buat pes siap-siap dan hanya masukkan protein seperti ayam atau ikan apabila memasak.

    “Ini adalah cara menjimatkan masa, jadi awda tidaklah sepanjang hari berada di dapur sebaliknya boleh membuat amalan lain seperti berzikir, membaca al-Quran dan ibadat yang lain,” ujarnya.

    Sementara itu, Neelofa turut mengingatkan agar memanfaatkan sepanjang bulan Ramadan dengan memperbanyakkan membaca al-Quran.

    Kata ibu dua cahaya mata ini, amalan membaca al-Quran dapat memberi perubahan positif dan menjadikan bulan mulia itu lebih bermakna.

    “Kalau kita biarkan Ramadan berlalu tanpa membaca al-Quran, kita sangat rugi. Kekuasaan al-Quran adalah satu mukjizat yang mana Allah masih pelihara sehingga ke hari ini.

    “Kalau baca sikit pun tapi awda manfaatkan setiap hari, insya-Allah awda akan rasa sesuatu yang lain walau hanya sedikit,” katanya. – Agenis

    Neelofa berkongsi tip bermanfaat untuk menyambut kedatangan Ramadan. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda