Sunday, February 2, 2025
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Negara Arab tolak rancangan Trump pindahkan penduduk Gaza

    KUALA LUMPUR, 2 FEB – Mesyuarat menteri enam negara Arab di Kaherah kelmarin menolak sebarang rancangan untuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.

    Dalam satu kenyataan bersama, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar, Mesir, Pihak Berkuasa Palestin dan Liga Arab menyatakan sokongan penuh terhadap keteguhan rakyat Palestin di tanah air mereka serta hak sah mereka selaras dengan undang-undang antarabangsa.

    Negara-negara peserta  menegaskan penolakan mereka terhadap sebarang pelanggaran hak-hak yang tidak boleh dinafikan itu, sama ada melalui aktiviti penempatan, pengusiran, perobohan rumah, perampasan tanah atau pemindahan paksa rakyat Palestin dalam apa jua bentuk atau alasan.

    Menurut kenyataan itu, rancangan sedemikian, “mengancam kestabilan rantau ini, berisiko mencetuskan perluasan konflik, dan menjejaskan prospek keamanan serta kewujudan bersama dalam kalangan penduduknya.”

    Mesyuarat kelmarin diadakan susulan kenyataan berulang oleh  Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mencadangkan penempatan semula rakyat Palestin di luar wilayah mereka, termasuk di Mesir dan Jordan.

    Kenyataan bersama itu dikeluarkan selepas mesyuarat yang diadakan atas jemputan Mesir dan dihadiri wakil Jordan, UAE, Arab Saudi, Qatar serta Mesir, bersama Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) bagi Negara Palestin dan Setiausaha Agung Liga Arab.

    Sementara itu, enam negara berkenaan menyuarakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pentadbiran Trump bagi mencapai perdamaian menyeluruh di Timur Tengah berdasarkan penyelesaian dua negara serta usaha menamatkan konflik di rantau itu.

    Mereka turut menggesa masyarakat antarabangsa, kuasa serantau dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar melaksanakan penyelesaian dua negara bagi menangani punca ketegangan di Timur Tengah.

    Selain itu, negara-negara berkenaan turut menegaskan peranan penting dan tidak boleh digantikan oleh Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat  (UNRWA) serta menolak sebarang cubaan untuk mengetepikan atau mengehadkan peranannya. – Bernama 

    Donald Trump semasa sidang akhbar di Pejabat Oval White House di Washington, DC pada 31 Januari 2025. Negara Arab tidak bersetuju dengan rancangan Trump pindahkan penduduk Gaza. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda