Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Negara Barat tak boleh paksa Iran ikut kehendak mereka’

    TEHRAN, 15 SEPT – Negara Barat tidak dapat memaksakan kehendak mereka ke atas Iran dengan menggunakan sekatan, kata Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, lapor Sputnik.

    “Negara Barat harus tahu, dan ia mengejutkan bahawa mereka masih belum menyedari hal ini, bahawa sekatan adalah alat yang gagal dan mereka tidak boleh memaksakan kehendak mereka ke atas Iran melalui sekatan, baik dalam isu nuklear mahupun isu lain,” kata Araghchi, seperti dipetik oleh agensi berita Fars.

    Diplomat tertinggi Iran itu juga menyeru negara-negara Barat untuk mengubah haluan mereka, sambil menambah bahawa Tehran bersedia untuk terlibat dalam dialog yang saling menghormati, bukannya ancaman dan tekanan.

    Dalam satu kenyataan bersama pada Selasa lalu, Jerman, United Kingdom dan Perancis mengancam Iran dengan sekatan baharu, termasuk pembatalan perjanjian perkhidmatan udara dua hala, berhubung dakwaan penghantaran peluru berpandu balistik jarak dekat oleh Tehran kepada Rusia untuk digunakan dalam pertempuran di Ukraine.

    Iran telah menafikan tuduhan memberi sokongan ketenteraan kepada Rusia, dengan menyatakan bahawa ia tidak terlibat dalam konflik di Ukraine. Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy telah mengakui bahawa beliau tidak mempunyai bukti Iran memindahkan peluru berpandu balistik kepada Rusia. – Bernama

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda