Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali daripada kesan-kesan perubahan iklim dengan suhu minimum meningkat di Brunei pada kadar 0.25 darjah Celsius sedekad serta mungkin mencapai peningkatan 4 darjah Celsius pada akhir abad ini.
Sementara itu, minimum turunan hujan bulanan telah meningkat pada kadar 100 milimeter sedekad dan diramalkan untuk meningkat pada minimum 500 milimeter menjelang 2050 yang mengancam kawasan-kawasan ekonomi utama di dalam negara.
“Kita telah mengalami peningkatan jumlah banjir, kebakaran hutan, tanah susur dan angin kencang, yang telah merosakkan bangunan-bangunan kita dan persekitaran yang kita panggil sebagai kediaman kita.”
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam ucapannya pada pelancaran Direktif Laporan Mandatori bagi Gas Rumah Hijau (GHG) yang berlangsung di Kompleks JPM, hari ini.
Walaupun sumbangan kita kepada pelepasan GHG global keseluruhan adalah rendah iaitu hanya merangkumi 0.017 peratus daripada jumlah keseluruhan pelepasan GHG global tahunan, namun komitmen kita berdiri tegak sebagai sebahagian daripada agenda kebangsaan untuk menangani perubahan iklim telah ditegaskan semula oleh komitmen negara kepada Perjanjian Paris serta kepada pelancaran Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei Darussalam (BNCCP) pada Julai 2020.
Dasar itu menggariskan 10 strategi utama untuk menurap hala laluan rendah karbon dan berdaya tahan iklim Brunei bagi sebuah negara mampan, tambah Yang Berhormat Dato dalam ucapannya selaku Pengerusi Bersama Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.
Beliau menyatakan bahawa Brunei adalah komited di peringkat antarabangsa bagi Nationally Determined Contributions (NDC), untuk mengurangkan pelepasan GHG kita sebanyak 20 peratus berbanding tahap business-as-usual menjelang 2030 di mana BNCCP telah dilancarkan untuk menyokong ke arah mencapai matlamat berkenaan.
Pelaporan pelepasan GHG yang telus dan mantap adalah amat kritikal dalam perkiraan GHG kebangsaan, ulas Yang Berhormat Dato, di mana ia membantu kita untuk menjejak perkembangan ke arah komitmen dan ikrar kebangsaan bagi pengurangan pelepasan.
“Strategi 9 mengenai inventori karbon adalah kunci ke arah meningkatkan ketelusan dan kelengkapan data pelepasan kita menerusi pelaporan mandatori inventori karbon kita,” jelasnya.
Beliau berkata bahawa data pelepasan kita yang boleh dipercayai dan tepat adalah amat perlu untuk menyokong penggubalan dasar, menilai keberkesanan usaha kita untuk menangani perubahan iklim dan bagi menempatkan sumber ke arah tindakan iklim.
Ia juga dapat menjadi sebuah platform ke arah pembangunan strategi jangka panjang kita ke arah mencapai sifar bersih, tambahnya.
Di samping itu, mekanisme perakaunan karbon yang kukuh membantu untuk membina kredibiliti dan kepercayaan dengan komuniti antarabangsa di mana ia menunjukkan komitmen negara bagi mengambil tindakan bermakna terhadap perubahan iklim.
Ia juga akan meningkatkan lagi kedudukan kita dalam kolaborasi dan rundingan antarabangsa bagi tindakan iklim, jelas Yang Berhormat Dato.
Data berkualiti tinggi yang signifikan daripada laporan pelepasan GHG yang konsisten dan tepat melangkau jauh dari hanya sempadan kita di mana ia mempunyai implikasi global.
Yang Berhormat Dato berkata lagi, ia memainkan peranan penting dalam usaha global untuk mengurangkan pelepasan GHG dan menentang kesan-kesan perubahan iklim.
“Ini adalah penting kerana ancaman perubahan iklim bukan sahaja memberi kesan kepada kita tetapi juga generasi masa hadapan kita,” tambah beliau.