Saturday, July 27, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Nelayan muda teruskan legasi bina bot tradisional

    Musim Monsun Timur Laut lazimnya merupakan waktu rehat buat golongan nelayan kerana mereka tidak dapat turun ke laut ekoran keadaan angin kencang dan laut bergelora yang boleh mengancam keselamatan.

    Dalam tempoh itu mereka banyak menghabiskan waktu dengan melakukan pelbagai aktiviti seperti membaiki bubu atau pukat yang rosak dan mencari pendapatan sampingan seperti menjala ikan darat atau melakukan kerja-kerja kampung bagi menampung perbelanjaan keluarga sepanjang musim tengkujuh.

    Namun, berbeza bagi nelayan muda Muhammad Hafizudin Bakri Abdullah, 22, yang memanfaatkan musim tengkujuh kali ini dengan mempelajari seni pembinaan bot nelayan tradisional.

    Muhammad Hafizudin Bakri berkata dia mengambil keputusan untuk mengambil upah membina bot tradisional bukan sekadar mahu menerima upah sebanyak RM300 seminggu semata-mata, tetapi berhasrat menyambung warisan pembinaan bot yang semakin dilupakan itu.

    “Sebelum ini apabila musim tengkujuh saya akan membaiki bot yang saya guna untuk tangkap ikan ataupun memancing di sungai, tetapi kali ini saya mengambil upah membina bot tradisional. Ia boleh diibaratkan ‘sambil menyelam minum air’ kerana sambil saya belajar, saya terima upah juga,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Telaga Papan di Setiu.

    Hasrul Abdullah (kanan) dan Muhammad Hafizudin Bakri Abdullah memasang kayu pada badan bot nelayan tradisional. – Bernama
    Hasrul Abdullah memeriksa keadaan komponen bot nelayan tradisional. – Bernama
    Abdullah Daut melakukan kerja-kerja memotong kayu untuk membina badan bot nelayan tradisional di Kampung Telaga Papan. – Bernama
    Gambar Bernama
    Gambar Bernama

    Anak jati Kampung Telaga Papan yang telah bekerja sebagai nelayan sejak usia belasan tahun itu mengambil upah membina bot tradisional dengan seorang nelayan veteran Abdullah Daud,69, yang merupakan satu-satunya pembuat bot nelayan tradisional di kampung berkenaan.

    Muhammad Hafizudin Bakri bersama empat pekerja lain kini sedang membina sebuah bot sepanjang 18 meter (m) dengan lebar 5.5m yang ditempah seorang pelanggan berasal dari Kuala Nerus.

    Sementara itu, bagi Hasrul Abdullah,32, berbeza dengan rakan-rakan sebayanya yang bekerja di bandar, dia lebih memilih untuk menetap di kampung dan membantu ayahnya, Abdullah atau lebih mesra dipanggil Pok Pen, membina bot nelayan tradisional.

    Anak kelima daripada enam beradik itu berkata hanya dia di dalam keluarga yang berminat untuk mempelajari serta mewarisi kemahiran pembinaan bot nelayan tradisional daripada ayahnya.

    “Sejak kecil saya tengok ayah buat bot, jadi minat itu lama-kelamaan timbul. Lagipun saya kesiankan ayah kerana telah berusia dan tak larat hendak uruskan (pembuatan bot) seorang diri. Saya juga ingin teruskan apa yang ayah buat ini supaya tidak lenyap ditelan arus kemodenan,” katanya.

    Mengikuti trend semasa, Hasrul sering berkongsikan video semasa dia bekerja dan proses pembinaan bot menerusi akaun TikToknya supaya dapat menarik minat lebih ramai anak muda untuk mengetahui tentang bot nelayan tradisional terutama di Terengganu.

    Sementara itu, Abdullah bersyukur dan lega kerana masih ada anak muda seperti Muhammad Hafizudin Bakri dan Hasrul yang berminat untuk menguasai kemahiran pembinaan bot nelayan tradisional daripadanya.

    Abdullah juga gembira kerana dapat menurunkan ilmu pembinaan bot menggunakan teknik pasak kayu iaitu kaedah untuk melekatkan kayu-kayu yang sering digunakan oleh pembuat bot di Terengganu.

    “Untuk badan bot di Terengganu ini banyak yang guna teknik pasak berbanding guna paku kerana paku kalau kena air laut akan cepat berkarat dan akan tercabut. Selain itu antara celahan kayu yang dicantum, kita akan selitkan dengan kulit pokok gelam bagi memastikan tiada sebarang lubang pada bot yang boleh menyebabkan air masuk,” katanya.

    Bot yang sedang dibinanya itu, katanya diperbuat daripada kayu cengal kampung dan kayu seraya merah serta akan dijual pada harga RM550,000.

    “Dahulu harga bot seperti ini hanya sekitar RM300,000 tetapi harga kayu semakin mahal. Itu pun kita guna kayu cengal kampung dan kayu seraya merah. Kalau guna kayu cengal yang lebih berkualiti, bot itu kita akan jual pada harga RM800,000 kerana harga kayu cengal memang sangat mahal,” katanya yang berkecimpung dalam seni pembinaan bot tradisional sejak berusia 15 tahun. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...