Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Meletakkan tumbuhan segar di atas perkuburan: Sunnah Rasulullah

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Sambungan minggu lepas

    Al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullahu Ta‘ala menerangkan maksud hadits ini dalam kitab Fath al-Bari dengan berkata: “Telah dikatakan: Sesungguhnya pelepah itu sentiasa bertasbih selama ia masih basah. Maka dengan berkat tasbih itu, dapatlah meringankan seksa kubur bagi si mati”.

    HUKUM MELETAKKAN TUMBUH-TUMBUHAN DI ATAS KUBUR

    Hukum meletakkan tumbuh-tumbuhan di atas kubur adalah sunat sebagaimana disebut oleh para ulama, antaranya Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj berkata yang ertinya:

    “Disunatkan meletakkan (atau menusukkan) pelepah kurma yang hijau atas kubur kerana mengikut (sunnah Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana disebut dalam hadits) dan sanadnya adalah shahih, dan sebabnya juga ialah yang demikian itu dapat meringankan seksaan (penghuni)nya dengan berkat tasbihnya (pelepah tersebut)”.

    HUKUM MENGAMBIL TUMBUH-TUMBUHAN ATAS KUBURAN

    Hukum mengambil tumbuh-tumbuhan yang diletakkan atau ditusukkan di atas kuburan adalah haram selagi tumbuh-tumbuhan itu hidup atau belum kering sebagaimana disebut oleh para fuqaha dalam kitab-kitab mereka, antaranya ialah:

    1. Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj berkata yang ertinya:

    Gambar fail

    “Dan haram mengambil (pelepah kurma yang hidup) itu sebagaimana telah dibahaskan, kerana dengan berbuat demikian akan menghilangkan hak si mati (manfaat keringanan seksa kubur dari berkat zikir pelepah kurma yang masih basah sebagaimana disebut dalam hadits). Dan secara zahirnya adalah tidak haram mengambil (pelepah kurma) yang sudah kering yang telah dibiarkan kerana hak atau manfaat yang dinikmati oleh si mati sudah tidak ada lagi dengan keringnya (pelepah kurma itu)”.

    2. Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullahu Ta‘ala menjelaskan dalam kitab Mughni al-Muhtaj yang ertinya:

    “Dan tidak harus ke atas orang lain (selain orang yang meletakkannya) mengambilnya (pelepah kurma yang masih hidup) yang ada di atas kubur sebelum ia menjadi kering (pelepah kurma tersebut), kerana pemiliknya belum membiarkannya melainkan setelah ia menjadi kering disebabkan hilangnya manfaat pelepah tersebut ketika ia masih hidup (belum kering) iaitu beristighfar”.

    Oleh yang demikian, haram bagi orang lain mengambil (seperti mencabut atau mematah) tumbuh-tumbuhan yang masih hidup segar yang diletakkan atau ditusukkan di atas kuburan oleh seseorang melainkan jika tumbuh-tumbuhan itu sudah kering sebagaimana menurut nash para ulama yang telah disebut.

    Hukum haram mengambil tumbuh-tumbuhan yang masih hidup yang diletakkan di atas kubur adalah disebabkan perbuatan tersebut mengakibatkan hilangnya hak si mati dalam bentuk manfaat iaitu keringanan seksa kubur dengan berkat zikir-zikir dari tumbuh-tumbuhan yang hidup itu.

    Oleh itu, dalam kaitannya dengan membersihkan tanah perkuburan dari daun-daunan yang kering, menjaga hak si mati dalam perkara sebegini juga perlu diambil perhatian dan tidak dicuaikan.

    HUKUM MENGAMBIL TUMBUHAN YANG SEDIKIT ATAU BANYAK

    Adakalanya juga perbuatan mengambil atau membuang tumbuh-tumbuhan yang masih hidup di atas kubur itu bukan sahaja diharamkan kepada orang lain yang bukan meletakkan atau menusukkannya di situ, tetapi juga diharamkan ke atas orang yang meletakkan atau menusukkannya di situ jika tumbuh-tumbuhan itu sedikit seperti hanya setangkai-dua pelepah kurma. Ini kerana mengambil atau membuang tumbuhan yang sedikit itu akan menghilangkan hak si mati tersebut dalam bentuk keringanan seksa kubur dari berkat zikir tumbuh-tumbuhan yang masih hidup itu.

    Akan tetapi, jika tumbuh-tumbuhan itu banyak, tidaklah menjadi masalah bagi orang yang meletakkan tumbuh-tumbuhan itu mengambilnya bagi tujuan meletakkan di atas kubur yang lain umpamanya. Ini adalah berdasarkan sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Bujairimi Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab Hasyiyah al-Bujairimi ‘Ala al-Khathib yang ertinya:

    “Jika sesuatu yang masih hijau itu sedikit seperti satu atau dua pelepah kurma umpamanya, maka tidak boleh (walaupun orang yang meletakkannya atau menusukkannya sendiri) mengambilnya kerana ia sudah menjadi hak bagi si mati (ketika tumbuh-tumbuhan itu masih) hijau. Maka haram mengambilnya. Manakala jika pelepah kurma itu banyak maka adalah harus bagi orang yang meletakkannya (atau menusukkannya) itu mengambil sebahagiannya. Oleh itu, harus bagi orang yang meletakkan (atau menusukkan) pelepah kurma umpamanya pada jumlah yang banyak di atas satu kubur untuk mengambil sebahagian daripadanya bagi tujuan untuk diletakkan (atau ditusukkan) di atas kubur yang lain. Begitulah seterusnya. Semuanya ini adalah jika pelepah kurma itu umpamanya masih hijau, belum kering dan orang yang mengambil itu adalah pemiliknya (orang yang meletakkannya)”.

    JENIS TUMBUHAN YANG DILETAKKAN DI ATAS KUBUR

    Walaupun jenis tumbuhan yang sunat diletakkan di atas kubur itu sebagaimana yang disebutkan dalam hadits dan kebanyakan kitab fiqh adalah “al-jaridah al-khudra” iaitu pelepah kurma yang hijau, namun tidaklah bermakna ia hanya terhad kepada pelepah kurma sahaja. Bahkan para ulama menjelaskan bahawa tumbuh-tumbuhan yang lain yang segar atau masih hidup juga boleh digunakan untuk diletakkan atau ditusukkan di atas kubur. Sebahagian ulama yang menyebut mengenai perkara ini antaranya ialah:

    1. As-Sayyid al-Bakri Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab I‘anah ath-Thalibin berkata yang ertinya:

    “Disunatkan meletakkan pelepah kurma yang hijau di atas kubur sebagai mengikut sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan kerana yang demikian itu dapat meringankan seksa ke atas mayat dengan berkat tasbihnya (pelepah kurma yang masih basah itu). Dan diqiyaskan dengannya (pelepah kurma itu) apa yang biasa disediakan untuk disimpan (di atas kubur) seperti (tumbuh-tumbuhan) yang berbau harum lagi basah (hidup)”.

    2. Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab Mughni al-Muhtaj menyebut yang ertinya:

    “Dan adalah disunatkan juga meletakkan pelepah kurma hijau (basah) di atas kubur, dan demikian juga jenis tumbuh-tumbuhan yang berbau harum dan seumpamanya dari sesuatu yang masih basah”.

    3. Imam al-Bujairimi Rahimahullahu Ta‘ala pula menjelaskan dalam kitab Hasyiyah al-Bujairimi ‘Ala al-Khathib yang ertinya:

    “(Dari sesuatu yang basah) itu keumumannya meliputi sehingga (jenis tumbuhan) seumpama akar-akaran dari tumbuhan lobak, seperti daun sayur salad, kerana yang demikian itu dapat meringankan (seksa) ke atas mayat dengan berkat tasbihnya”.

    Oleh yang demikian, selain pelepah kurma, tumbuh-tumbuhan yang lain juga boleh diletakkan di atas kubur bagi memberi manfaat kepada si mati seperti tumbuh-tumbuhan yang berbau wangi, daun sayur salad dan sebagainya.

    Sebagai kesimpulan, membersihkan tanah perkuburan adalah satu amalan yang baik dan dituntut. Segala kotoran tidak kira sama ada yang mendatangkan bau busuk ataupun tidak wajiblah dijauhkan dari kubur orang Islam kerana menyakiti orang Islam yang datang ziarah di situ dan menyakiti mayat orang Islam adalah haram.

    Satu perkara yang tidak patut untuk disia-siakan ialah amalan meletakkan atau menusukkan suatu tumbuhan yang masih hijau atau segar di atas kubur si mati. Ini kerana ia merupakan sunnah yang sabit daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Dan manfaat daripada amalan tersebut dapat pula dinikmati oleh si mati iaitu merupakan keringanan seksa yang mungkin dialaminya di alam barzakh.

    Oleh itu, tumbuh-tumbuhan yang masih basah yang diletakkan di atas kubur janganlah diambil atau dibuang sesuka hati. Ia adalah bagi menjaga hak si mati. Melainkan jika tumbuhan tersebut sudah kering atau tidak lagi hijau. Dalam situasi ini, kita biasa melihat atau mendapati pembersih-pembersih kubur membersihkan kubur dengan sebersih-bersihnya, termasuk menebang atau mencangkul atau meracun tumbuh-tumbuhan yang tumbuh di atas kubur, sama ada tumbuh-tumbuhan itu yang tumbuh sendirinya atau yang ditanam orang berupa pohon bunga-bungaan dan seumpamanya. Cara ini adalah berlawanan dengan sunnah sebagaimana keterangan di atas.

    Oleh itu sangat perlu bagi pihak berkenaan membuat garis panduan bagaimana membersih perkuburan secara yang tidak bersalahan dengan syara‘. Demikian juga sangat lazim bagi pembersih-pembersih kubur melakukan pembakaran-pembakaran di atas kubur dan lain-lain yang tidak wajar dilakukan oleh orang-orang yang berada di atas kubur. Juga tidak kurang pentingnya untuk dibuat peraturan dan peringatan mengenai penggunaan kubur yang hingga hari ini terus menerus dilakukan orang, seperti sewenang-wenang membuat tambak dengan mengambil ruang yang luas sehingga boleh menjelaskan pengguna-pengguna yang lain (sudah ada fatwanya mengenai membina atau membuat tambak ini).

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...