Monday, March 17, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Netflix bakal labur AS$2.5 bilion dalam filem Korea Selatan

    SEOUL, 25 APRIL – Netflix akan melabur AS$2.5 bilion dalam kandungan filem Korea Selatan bagi tempoh empat tahun akan datang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Netflix, Ted Sarandos selepas bertemu dengan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol di Washington.

    Korea Selatan telah mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa besar budaya global sejak beberapa tahun kebelakangan, sebahagiannya disebabkan oleh kejayaan besar filem Parasite yang memenangi Oscar dan siri Netflix popular Squid Game.

    “Netflix gembira untuk mengesahkan bahawa kami akan melabur AS$2.5 bilion di Korea Selatan termasuk penciptaan siri Korea, filem dan rancangan tanpa skrip bagi tempoh empat tahun akan datang,” kata Sarandos dalam satu kenyataan yang diberikan kepada AFP hari ini.

    Sarandos berkata bahawa Netflix mempunyai keyakinan besar bahawa industri kreatif Korea Selatan akan terus menceritakan kisah hebat, menunjuk kepada kejayaan hits global baru-baru ini seperti The Glory dan rancangan realiti Physical 100.

    Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kandungan filem Korea Selatan telah menggemparkan dunia, dengan lebih 60 peratus penonton Netflix menonton rancangan dari negara Asia Timur itu pada 2022, menurut data syarikat tersebut.

    Netflix, yang membelanjakan lebih daripada AS$750 juta membangunkan kandungan filem Korea dari 2015 hingga 2021, sebelum ini berkata ia akan mengembangkan keluaran rancangan Korea Selatan, tanpa memberikan butiran rancangan perbelanjaan. – AFP

    Papan tanda Netflix digambar di luar bangunan pejabatnya di Los Angeles 20 April 2022. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda