Wednesday, February 19, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    New Zealand lanjut tempoh cuti jaga anak

    WELLINGTON, 6 Nov – Menjelang 2020, ibu bapa di New Zealand bakal menikmati cuti menjaga anak bergaji penuh selama 26 minggu, sebagai sebahagian daripada janji kerajaan untuk menyokong keluarga yang mempunyai anak damit baharu lahir dan anak-anak masih kecil, lapor agensi berita Xinhua.

    “Kabinet hari ini memutuskan untuk menambah tempoh cuti ibu bapa menjaga anak kepada 22 minggu mulai 1 Julai 2018 dan akan melanjutkannya lagi kepada 26 minggu mulai 1 Julai, 2020,” kata Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern.

    Beliau berkata, langkah yang merupakan sebahagian daripada antara usaha kerajaan di bawah Pakej Keluarga itu, turut menerima sokongan pihak lain, kerana ia sememangnya wajar untuk dilaksanakan.

    Menurut beliau, kehidupan kanak-kanak perlu dimulakan dengan cara terbaik kerana bukti telah menunjukkan, jika ibu bapa mempunyai masa lebih lama bersama anak-anak di rumah, ia memberikan manfaat besar terhadap perkembangan mereka.

    Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern bercakap semasa sidang akhbar bersama di Parlimen di Wellington pada 6 November 2017. – AFP

    Seramai 28,000 ibu bapa di New Zealand kini menikmati cuti menjaga anak selama 18 minggu dan jumlah itu dilihat antara yang paling rendah dalam Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), katanya.

    Ardern berkata, peningkatan dalam sokongan kerajaan terhadap ibu bapa bekerja, membabitkan peruntukan sebanyak NZ$325 juta (AS$224 juta) untuk tempoh empat tahun, yang merupakan sebahagian daripada belanjawan kerajaan.

    “Ia adalah pelaburan untuk institusi keluarga yang akan memberi manfaat kepada kanak-kanak dan semua masyarakat,” tambahnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda