LONDON, 27 APRIL – Ipswich disahkan tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris selepas tewas 3-0 kepada Newcastle, manakala Chelsea mengekalkan peluang untuk menamatkan musim di kedudukan lima teratas dengan kemenangan 1-0 ke atas Everton semalam.
Melambangkan kesilapan sendiri yang sering menjejaskan Ipswich musim ini, pasukan kendalian Kieran McKenna kehilangan Ben Johnson yang dilayangkan kad merah pada minit ke-37 selepas menerima dua kad kuning dalam masa singkat di St James’ Park.
Alexander Isak menyempurnakan sepakan penalti selepas Jacob Murphy dijatuhkan oleh Julio Enciso pada masa tambahan separuh masa pertama.
Tandukan Dan Burn pada minit ke-56 menggandakan kelebihan Newcastle sebelum William Osula menambah jaringan ketiga pada minit ke-80, sekali gus menamatkan harapan Ipswich untuk terus kekal di liga.
Ipswich yang berada di tangga ketiga tercorot kini ketinggalan 15 mata di belakang West Ham di kedudukan keempat paling bawah dengan hanya empat perlawanan berbaki, memastikan mereka tersingkir ke Championship.
Newcastle kini melonjak ke tangga ketiga sambil menyasarkan kelayakan ke Liga Juara-juara selepas turut muncul juara Piala Liga.
Enzo Maresca memuji aksi ‘bersemangat’ Chelsea selepas kemenangan sukar yang mengekalkan peluang mereka untuk memburu tiket ke Liga Juara-juara.
Ledakan Nicolas Jackson dari jarak 20 ela pada separuh masa pertama membawa Chelsea naik ke tangga kelima dengan empat perlawanan berbaki. – AFP
