Oleh Fadhil Yunus
HONG KONG, 3 DIS – Brunei Darussalam telah meraih satu kejayaan penting terhadap pembangunan bola sepak akar umbi selepas Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (NFABD) dianugerahkan Anugerah Pengiktirafan Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang berprestij untuk Bola Sepak Akar Umbi (Aspiring) dalam Anugerah Tahunan AFC di Hong Kong, kelmarin.
Presiden NFABD, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan menerima anugerah tersebut selaku wakil NFABD.
“Ini merupakan satu kejutan besar buat negara. Kita sangat-sangat berterima kasih kepada AFC atas pengiktirafan usaha kita,” kongsi beliau.
Beliau menambah, “Saya perlu berterima kasih kepada semua kakitangan yang telah bekerja keras untuk membangunkan bola sepak akar umbi negara.”
Calon-calon bagi anugerah tersebut termasuk Persatuan Bola Sepak Guam dan Persatuan Bola Sepak Palestin.
Penerima anugerah lain termasuk Persatuan Bola Sepak Singapura yang merangkul Kategori Developing, sementara itu, Persatuan Bola Sepak China membawa pulang anugerah Kategori Inspiring.