Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Nikmati ‘kebebasan’ melalui seni lukisan

    Gambar AFP

    KARACHI – Apabila Ahmed Rabbani kehabisan cat untuk memenuhi keinginan artistiknya selama 20 tahun dipenjarakan di Teluk Guantanamo, dia beralih kepada apa sahaja yang ada di tangan – kotoran, serbuk kopi dan juga rempah seperti kunyit dari kantin penjara.

    “Melalui lukisan, saya dapat merasakan diri saya berada di luar Guantanamo,” kata warga Pakistan berusia 53 tahun itu minggu ini pada pameran karyanya di bandar pelabuhan, Karachi.

    “Melukis adalah segala-galanya untuk saya di sana.”

    Rabbani telah ditahan oleh pihak berkuasa Pakistan pada September 2002 dan diserahkan kepada Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) untuk habuan AS$5,000.

    Dia ‘dijual’ atas dasar dia seorang militan tersohor yang dikenali sebagai Hassan Ghul, tetapi Rabbani berulang kali menegaskan ia adalah kes kesilapan identiti.

    Rabbani (tengah), bercakap kepada media semasa pameran karyanya di Karachi, baru-baru ini.
    Rabbani bercakap kepada AFP semasa pameran karyanya di Karachi, baru-baru ini.
    Rabbani (kiri), berdiri bersama Stafford Smith semasa pameran karyanya di Karachi, baru-baru ini.
    Para pelawat berdiri berhampiran plat pencampur warna yang diluluskan oleh tentera AS untuk Rabbani.
    Para pelawat melihat lukisan karya Rabbani.
    Rabbani memberi penerangan mengenai lukisannya sambil bercakap dengan AFP semasa pameran karyanya di Karachi, baru-baru ini.

    Dia juga dituduh merekrut abangnya, Muhammed ke dalam kalangan puak pelampau.

    Kedua-duanya tidak pernah didakwa atau menghadapi perbicaraan selama dua dekad dalam tahanan, dan mereka hanya dibebaskan pada Februari tahun ini.

    “AS telah membayar wang yang banyak dan tidak ingin ditipu,” menurut peguam Rabbani, Clive Stafford Smith, dalam katalog pameran.

    “Sesuatu yang dia dan saya tidak tahu sehingga Senat AS menerbitkan Laporan Rendisinya pada 2014 yang menyatakan Ghul telah ditangkap dan dibawa ke penjara yang sama, hanya untuk dibebaskan kembali ke Pakistan kerana ‘bekerjasama’.

    “Semasa Ghul kembali kepada kelompok pengganasnya dan terbunuh dalam serangan dron pada 2012, Rabbani mendapat perjalanan sehala ke Teluk Guantanamo.”

    Melukis dari kopi, kunyit

    Dilahirkan di Mekah, Arab Saudi, tempat ibu bapanya bekerja, Rabbani berpindah kembali ke Karachi sebagai seorang remaja dan merupakan seorang pemandu teksi pada masa penahanannya.

    Fasih berbahasa Arab, beliau pakar dalam membimbing pelancong dari Timur Tengah – faktor yang menyebabkan beliau tersilap dikenal pasti.

    Semasa dipenjarakan di Teluk Guantanamo, lukisan menjadi obsesi bagi Rabbani, walaupun bertahun-tahun dihabiskan untuk mogok lapar bermakna dia sering terlalu lemah untuk memegang berus.

    Jika dia kehabisan bahan, dia akan membuat improvisasi.

    “Saya akan mencari dan menukar sehelai pakaian yang dibuang atau koyak menjadi kanvas,” katanya.

    “Kadang-kadang saya melukis menggunakan kopi, kadang-kadang menggunakan kunyit.”

    Dalam ‘The Unforgotten Moon: Liberating Art from Guantanamo Bay’, kira-kira dua dozen karya Rabbani dibenarkan untuk diambil dari penjara untuk dipamerkan, bersama karya artis tempatan yang telah ‘membayangkan semula’ lukisan yang dirampas.

    “Beliau adalah seseorang yang telah kehilangan begitu banyak hidupnya, jadi untuk menghasilkan imej kualiti ini adalah satu keajaiban yang luar biasa,” kata Natasha Malik, kurator dan penganjur pameran itu.

    “Dipamerkan bersama karya seni Rabbani yang tidak ditapis, para artis menguatkan bantahan dan ekspresi kreatifnya, dengan mencipta semula karya yang tidak pernah dilihat oleh orang ramai.”

    Berjambang serta memakai pakaian tradisional, shalwar kameez dan weskot, Rabbani menjadi tumpuan pada pembukaan pameran.

    Dengan senyuman dan kerlipan mata, dia menggariskan rancangan besar untuk tahun-tahun mendatang.

    Pertama sekali ialah penerbitan buku masakan di mana dia menghidupkan semula semangat untuk memasak semasa berada di Guantanamo.

    “Ia akan mempunyai memoirnya di dalamnya, tetapi dalam suasana buku masakan,” kata Stafford Smith kepada AFP.

    Kemudian dia mahu membuka restoran berdasarkan resipi yang dipelajarinya semasa di penjara, harapnya menggunakan dana yang diperoleh daripada jualan seninya.

    Mengetengahkan harapan dan kekecewaannya, karya seninya kelihatan menakjubkan untuk seseorang yang hanya mempelajari sedikit seni semasa di sekolah.

    Beberapa hasil lukisannya adalah ungkapan yang jelas tentang keinginannya untuk bebas – alam semula jadi yang dilihat melalui bukaan sempit, burung terbang dan lautan yang tidak berkesudahan.

    Satu lagi karyanya menunjukkan sangkar yang mengandungi ikan oren terang – warna pakaian yang dikenakan tahanan Guantanamo.

    “Saya menghabiskan bertahun-tahun memakai warna oren, “ katanya.

    “Saya tidak pernah menerima peraturan mereka. Saya akan sentiasa melanggar peraturan mereka,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...