Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Nikmati kepelbagaian olahan buah kembayau

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    Apabila diajukan soalan santai mengenai sebiji buah berwarna hitam putih atau sedikit kekuningan isinya selepas dikikis dan sedia untuk direndam dalam air panas atau dimasak pelbagai cara, apakah buah tersebut?

    Pasti terlintas dalam fikiran akan buah kembayau. Juga dipanggil dabai atau daba di Kepulauan Borneo, buah ini boleh didapati dengan banyak di wilayah hutan Kalimantan.

    Dikenali juga dengan nama saintifiknya Canarium Odontophyllum, buah sebesar ibu jari yang rasanya masam, manis dan berlemak seperti mentega ini sentiasa menjadi buruan penggemarnya. Lazimnya dijual pada harga yang mahal sehingga boleh mencecah dalam anggaran $15 ke atas sekilo lebih-lebih lagi apabila tiba permulaan musimnya.

    Bagi masyarakat luar pula, ia dikenali sebagai Zaitun Sarawak, di mana ia mempunyai banyak cabang dan tumbuh subur di kawasan berbukit. Hakikatnya, pokok kembayau yang hanya berbuah secara bermusim itu mampu mengeluarkan di antara 30 hingga 80 kilogram buah atau tertakluk kepada tempoh matangnya dan boleh ditanam dengan biji benih.

    Terokai variasi olahan berasaskan kembayau

    Terdapat pelbagai cara untuk menikmati buah kembayau, antaranya dimakan begitu sahaja, dimakan bersama nasi atau ditumis dan sebagainya. Dalam keluaran Rencana hujung minggu ini, penulis ingin membawa para pembaca Media Permata, terutamanya generasi muda kita yang mungkin kurang mengetahui akan buah kembayau ini mengenai beberapa cara kembayau dapat diolah menjadi sajian yang enak untuk dinikmati.

    Buah kembayau juga dipanggil sebagai dabai atau daba di Kepulauan Borneo sentiasa menjadi buruan penggemar tatkala tiba musimnya. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Sambal kembayau lebih enak jika dinikmati bersama nasi putih. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Isi biji buah kembayau juga enak dimakan, seakan-akan rasa kacang senyum. – Gambar oleh Nurdiyanah R.

    Salah satu penyediaannya yang begitu mudah iaitu dengan hanya merendamnya guna air panas dalam masa kira-kira 10 ke 15 minit, sesudah isinya lembut, toskan airnya dan taburkan sedikit garam ataupun gula mengikut cita rasa masing-masing untuk menambahkan perisa dan makan begitu sahaja.

    Menariknya, terdapat juga mereka yang mempelbagaikan variasi masakan buah kembayau ini sehingga menjadikannya sajian menu nasi goreng kembayau. Sesetengah penggemarnya menikmatinya dengan bercicahkan kicap manis dan juga nasi berserta lauk-pauk lain.

    Sambal kembayau

    Namun, ada juga yang menyediakan buah kembayau ini dengan memasaknya sekali lagi dengan cara teknik menumis diadun dengan bahan-bahan lain untuk dijadikan sambal. Ia lebih enak jika dinikmati bersama nasi putih. Oleh itu, apabila awda ingin mencubanya, penyediaannya tidaklah terlalu rumit malah begitu senang asalkan ‘bekarih berusah’ ke dapur.

    Awda boleh menyediakan dua gayung atau setengah kilo buah kembayau bersama bahan-bahan tertentu iaitu lima ulas bawang bombay atau bawang merah, dua ulas bawang putih, halia sebesar ibu jari dan juga beberapa tangkai cili kering. Pastikan cili direndam di dalam air sehingga kembang terlebih dahulu. Bahan-bahan lain ialah lada padi mengikut cita rasa masing-masing, pusu (bilis), sedikit belacan, sos tiram, garam dan ajinomoto, gula pasir atau serbuk stok ayam dan minyak untuk menggoreng.

    Buah kembayau perlu direndam terlebih dahulu menggunakan air panas. Manakala semua bahan-bahan yang lainnya dihiris atau ditumbuk halus. Cili kering pula perlu dikisar.

    Kemudian panaskan minyak, goreng pusu sehingga garing, toskan dan ketepikan seketika.

    Seterusnya, tumis bahan yang dihiris atau ditumbuk tadi sehingga naik bau dan masak.

    Langkah seterusnya adalah memasukkan sos tiram, stok ayam, garam, perisa atau gula mengikut cita rasa masing-masing. Kemudian dimasukkan pusu yang digoreng dan kembayau dan gaul dengan menggunakan api yang sederhana sambil menanti sambal itu menyerap sebati dengan kembayau.

    Secara gambarannya, penyediaan hidangan sambal kembayau ini serupa dengan teknik membuat sambal nasi lemak atau nasi katok namun hanya perlu mencampurkannya ke dalam sambal yang dimasak tersebut.

    Isi biji kembayau sehebat pistasio

    Setelah mengolah buah kembayau itu, awda janganlah membuang biji-bijinya begitu sahaja kerana tahukah awda isi dalam buah kembayau sebenarnya boleh dimakan, rasanya enak seperti kacang senyum (pistasio).

    Untuk memakan biji buah kembayau, sebaiknya kita perlu menjemurnya sehingga betul-betul kering atau rebusnya dengan air panas. Kemudian dibelah dua menggunakan pisau.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...