Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Pangkalan udara terbiar kini jadi tarikan pelancong

    ZELJAVA – Seperti dalam filem Bond, pangkalan udara Zeljava yang besar itu telah digali di sebuah gunung di antara Bosnia dan Croatia dan dibina untuk menahan serangan nuklear.

    Tetapi selama beberapa dekad dibiarkan, ia hanya menarik pelancong yang berani untuk melangkah ke dalam terowongnya yang runtuh itu.

    Dibina secara rahsia pada tahun 1960an untuk menyembunyikan sejumlah pesawat pejuang Soviet di kawasan yang ketika itu dikenali sebagai Yugoslavia, sebuah persekutuan sosialis yang mencari jalan tengah antara Moscow dan Washington semasa Perang Dingin, pangkalan itu mempunyai sistem tenaga sendiri, pembersihan air dan sistem pengudaraan yang boleh beroperasi secara sendirinya.

    Pada zaman kegemilangannya, pangkalan bawah tanah itu mampu menampung hampir 60 pesawat MiG-21, dengan terowong sepanjang 3.5 kilometer yang menjadi tempat pusat perintah, pejabat dan asrama.

    Peninggalan pintu konkrit besar yang boleh ditarik, berat sekitar 100 tan di empat pintu masuknya masih kelihatan dengan tetulang logam yang menonjol dari struktur tersebut.

    Seorang pelancong menggunakan lampu suluhnya semasa dia berjalan di dalam terowong gelap di pangkalan udara tentera bawah tanah Zeljava di tengah-tengah gunung Pljesevica, di sempadan Croatia dengan Bosnia. – Gambar AFP
    Sebuah pesawat tentera Douglas C-47 B Dakota Amerika dilihat ditutup dengan pelekat di pangkalan udara tentera bawah tanah Zeljava. – Gambar AFP
    Direka bentuk untuk menahan serangan nuklear, pangkalan udara Zeljava telah dibina secara rahsia pada tahun 1960an di kawasan Yugoslavia ketika itu. – Gambar AFP
    Gambar AFP

    Selain dari ruang dalaman yang besar, pangkalan itu mempunyai lima landasan yang merentang di sempadan antara Croatia dan Bosnia.

    “Semua sistem itu merupakan tekno-logi canggih pada masa itu,” kata Mirsad Fazlic, bekas juruterbang yang bekerja di pangkalan selama hampir sedekad pada 1980an.

    “Ia adalah teknologi ketenteraan dan sivil terbaik ketika itu,” tambahnya.

    Semasa peperangan yang berlaku selepas pembubaran Yugoslavia pada 1990an, kemudahan itu telah dimus-nahkan oleh saki baki tentera Yugoslavia dengan menggunakan bahan letupan yang kuat.

    “Semua yang ada di dalamnya, semua peralatan itu, semuanya terbakar,” kata Fazlic.

    “Hanya terowong dan dinding yang tinggal.”

    Selepas dimusnahkan, pangkalan itu sebahagian besarnya dibiarkan kosong dan rosak, menarik pelancong berani yang ingin menerokai peninggalan lama dari era komunis itu.

    Itu semua berubah pada 2016 dengan pengeluaran sebuah filem mockumentary Slovenia yang berjudul Houston, We Have Problem! yang menampilkan pangkalan itu.

    Sejak itu, penduduk tempatan meng-anggarkan bahawa kompleks milik kerajaan itu telah menarik lebih daripada 150,000 orang setiap tahun.

    Pihak berkuasa di kawasan tersebut menaruh harapan tinggi bahawa dengan pemasaran yang betul, pangkalan itu boleh menarik lebih ramai lagi pelancong, terutamanya sebahagian daripada 1.7 juta pelancong yang mengunjungi taman negara Tasik Plitvice yang berdekatan setiap tahun.

    “Dengan menghidupkan semula Zeljava, kita akan mencipta kandungan tambahan untuk taman negara ini, yang membolehkan pelancong tinggal sehari lebih lama,” kata Ante Kovac, datuk bandar kawasan itu.

    Perlumbaan kereta telah diadakan di pangkala itu dan pihak berkuasa percaya saiznya yang luar biasa bermakna ia boleh menempatkan pusat data atau menjadi tuan rumah pesta atau sebuah muzium Perang Dingin.

    Pada masa ini, pengunjung berjalan dengan lampu suluh melalui terowong yang lembap dan sangat gelap, dengan berhati-hati mengelak lubang di tanah, sementara sesetengah orang memandu melalui bahagian pangkalan tersebut.

    “Sungguh gila kerana ia telah terkubur seiring dengan masa,” kata Angelo Virag, seorang jurugambar yang berkunjung dari ibu kota Croatia, Zagreb, yang terpukau dengan ketekunan kejuruteraan yang luar biasa.

    Sepupunya Mario Garbin dari Perth, Australia teruja dengan keaslian infrastruktur yang telah dibiarkan utuh selama 30 tahun yang lalu.

    Peminat penerbangan, Hamdija Mesic, dari pekan Bihac berhampiran Bosnia berkata beliau berharap bahawa kedua-dua landasan yang terletak di Bosnia akan dibuka semula kepada ahli penerbangan tidak lama lagi.

    “Sebuah kemudahan besar yang dibiarkan terbiar tidak dapat ditemui di tempat lain di dunia,” katanya kepada AFP.

    Bagaimanapun, sebahagian orang berharap tapak itu akan kekal seperti sedia ada.

    “Awda tidak mempunyai papan tanda ke mana awda perlu pergi dan apa yang perlu dilihat, ia lebih seperti tempat penemuan,” Maria Moreno, seorang pereka dalaman berusia 33 tahun dari Sepanyol, memberitahu AFP. “Inilah sebabnya saya menyukainya.

    “Mengubahnya menjadi tarikan pelancong akan kehilangan daya tarikannya.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...