Friday, September 20, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nilai eksport negara meningkat 10.1%

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Jumlah nilai eksport Negara Brunei Darussalam meningkat sebanyak 10.1 peratus pada suku keempat 2022 yang didorong oleh kenaikan indeks nilai unit eksport sebanyak 23.1 peratus.

    Peningkatan itu disumbangkan oleh peningkatan indeks minuman sebanyak 31 peratus, bahan api galian sebanyak 24.1 peratus dan barang keluaran kilang sebanyak 20.4 peratus.

    Kenaikan harga produk-produk berkenaan di pasaran dunia adalah antara faktor utama kepada peningkatan indeks nilai eksport, jelas Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, yang mengongsikan laporan Indeks Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTI) Suku Keempat 2022.

    Manakala itu, dari segi indeks volum eksport, penurunan sebanyak 33.2 peratus telah dicatatkan pada suku keempat 2022 yang disebabkan oleh indeks minuman sebanyak 36.1 peratus, bahan api galian sebanyak 34.2 peratus dan pelbagai barang keluaran kilang sebanyak 27.5 peratus.

    Jumlah nilai import meningkat sebanyak 18.7 peratus pada suku keempat 2022, didorong oleh kenaikan indeks nilai unit import sebanyak 4 peratus.

    Peningkatan indeks nilai unit import itu terutamanya disumbangkan oleh indeks bahan-bahan mentah tidak boleh dimakan sebanyak 23.8 peratus, bahan api galian sebanyak 16.9 peratus dan barang keluaran kilang sebanyak 15.9 peratus.

    Manakala, kenaikan indeks volum import sebanyak 7.9 peratus adalah disumbangkan oleh peningkatan indeks volum barang keluaran kilang sebanyak 43.2 peratus, makanan sebanyak 22.8 peratus dan minuman sebanyak 16.7 peratus.

    JPES turut menyatakan bahawa terma perdagangan bagi negara telah mencatatkan peningkatan sebanyak 18.4 peratus pada suku keempat 2022 terutamanya didorong oleh peningkatan minuman sebanyak 26.6 peratus, bahan kimia sebanyak 9.9 peratus dan bahan api galian sebanyak 6.2 peratus.

    IMTI menunjukkan trend nilai unit dan kuantiti komoditi import dan eksport di Negara Brunei Darussalam dalam tempoh tertentu.

    Indeks itu juga boleh digunakan dalam menganalisis daya saing negara, mengukur dan membuat unjuran inflasi dan penyusunan akaun negara.

    Laporan penuh IMTI bagi suku keempat 2022 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di https://deps.mofe.gov.bn/.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda