Saturday, November 16, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nilai tradisi terus dipelihara

    Oleh Nurdiyanah R.

    TUTONG, 28 MEI – Nilai-nilai tradisi dan budaya Puak Jati Dusun terus dihidupkan dalam Festival Adau Gayoh 2023 anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Ukong dengan kerjasama Pakatan Sang Jati Dusun (PSJD) Negara Brunei Darussalam di Gelanggang Sukan, Kampung Ukong hari ini.

    Festival dihasratkan dapat membawa kesedaran kepada generasi penerus itu telah dirasmikan oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Muhammad Sofian bin Haji Basri dengan merasa makanan di atas bekas yang diberi nama ‘Puun’ dalam bahasa Puak Jati Dusun.

    Mengalu-alukan kehadiran tetamu kehormat majlis ialah Ketua Kampung Ukong, Awang Muhd Hakimi bin Abdullah Gampar dan Yang Di-Pertua PSJD Negara Brunei Darussalam, Awang Johan bin Benson.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Muhammad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, juga selaku Penghulu Mukim Ukong dan Yang Berhormat Chong Chin Yee; Penasihat PSJD Negara Brunei Darussalam, Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman bin Uking.

    Semasa ucapan alu-alukan, pengerusi bersama festival, Awang Muhd Hakimi mengongsikan bahawa seramai 100 orang peserta terlibat dalam festival itu. Mereka terdiri daripada Kumpulan Kebudayaan MPK Ukong, Kumpulan Dukong Silai dan Kanak-kanak Kampung Batang Mitus, Kumpulan Kebudayaan Kampung Bukit Udal, Kumpulan Kebudayaan Kampung Kebia, Kumpulan Kebudayaan Kampung Bukit, Kumpulan Kebudayaan Kampung Sungai Liang termasuklah para pemain gulintangan.

    Manakala Kumpulan Masyarakat Iban Brunei dari Kampung Benutan turut dijemput untuk sama-sama mempersembahkan keunikan tarian mereka di festival tersebut. Selain itu, persembahan berkisar permainan kecapi dan juga silat dan kuntau turut menjadi tarikan salah satu pengisian acara tersebut.

    Festival turut dimeriahkan dengan pameran sejarah penubuhan PSJD Negara Brunei Darussalam, kesenian dan kebudayaan serta produk jualan kraftangan dan makanan dan minuman serta hasil tanaman para pengusaha setempat.

    Dengan adanya festival berkenaan, ia bukan hanya bertujuan bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat Puak Dusun yang bermastautin di Negara Brunei Darussalam terutamanya di kawasan-kawasan kampung.

    Ia juga diharap dapat membuka minda dan jiwa generasi pada masa kini untuk lebih menghargai asal usul mereka di samping terus melakar nilai-nilai dinamik, progresif, dan aktif seiring peredaran zaman yang semakin moden.

    Antara persembahan daripada para peserta Puak Jati Dusun yang memeriahkan festival tersebut.
    Awang Mohammad Sufian (kanan) semasa menyaksikan persembahan yang turut mempelawa orang ramai menyertainya.

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda