Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Nissan 400Z, model terbaharu dalam siri Z yang meraikan sejarah 50 tahun kenderaan berprestasi tinggi itu, telah dilancarkan secara rasmi di Bilik Pameran Nissan, Beribi, semalam.
Majlis pelancaran tersebut dikendalikan oleh Boustead Sdn Bhd, pengedar sah jenama Nissan di negara ini yang disempurnakan oleh Pengurus Operasi Kanan Boustead Sdn Bhd, Tan Teck Hock bersama-sama dengan Pengurus Lepas Jualan, Chan Chee Seng, Pengurus Jualan, Haji Shahrum bin Haji Jaafar, dan Eksekutif Cawangan, Shirley Chan.
Terdahulu, majlis mendengarkan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Jurulatih Produk, Awang Mohammad Zulfadhli bin Rosli, yang diteruskan dengan ucapan perasmian daripada Pengurus Pemasaran Nissan Brunei.
Nissan 400Z yang dinobatkan sebagai Z terbaik (The Best Z Ever), meraikan sejarah 50 tahun kenderaan berkenaan yang telah melalui tujuh generasi sebelum pengenalan Nissan 400Z terbaharu ini.
Model terkini itu mengetengahkan rekaan warisan yang menggabungkan rekaan moden dan tradisi, pada masa yang sama, mengutamakan prestasi yang terbaik bagi pengalaman pemanduan yang menarik.
Ia mengetengahkan teknologi terkini yang canggih bagi memberikan prestasi lebih baik dengan nadi penggerak enjin, VR30DDTT 3.0L Twin Turbo V6.
Orang ramai turut dialu-alukan untuk berkunjung ke Dewan Pameran Nissan, Beribi, pada 4 Februari untuk menyaksikan dan mengenali lebih dekat Nissan 400Z.