LONDON, 9 FEB – Sebuah edisi pertama novel sulung JK Rowling, Harry Potter and the Philosopher’s Stone dilelong pada harga £18,000 (AS$22,329) dalam satu sesi lelongan, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Naskhah itu merupakan satu daripada 500 salinan pertama yang dicetak pada 1997, dijual kelmarin oleh NLB Auctions yang berpangkalan di Paignton, Devon.
Buku itu mempunyai kesilapan ejaan pada bahagian belakang kulit buku bagi perkataan Philosopher’s serta kesilapan dalam senarai peralatan di halaman 53, di mana 1 wand disenaraikan dua kali.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/2B-WEB-AFP-2.jpg)
Walaupun dijangka terjual pada harga antara £20,000 hingga £30,000, buku itu akhirnya dibida pada harga £18,000.
Pihak lelongan menggambarkannya sebagai ‘contoh baik bagi edisi pertama yang amat jarang ditemui’ dengan sedikit kesan penggunaan.
Ia juga merupakan satu daripada 300 edisi perpustakaan, berdasarkan cop perpustakaan pada halaman tajuk serta tanda kad slip perpustakaan.
Ketika diterbitkan, hanya sejumlah kecil salinan dicetak kerana penerbit masih ragu-ragu mengenai potensi kejayaan buku berkenaan.
Siri Harry Potter mengandungi tujuh buah novel dan diadaptasi menjadi filem pecah panggung, akhirnya menjadi antara karya paling popular di dunia.
Pada Jun tahun lalu, sebuah edisi pertama buku ini dilelong pada harga £45,201, manakala satu salinan berkeadaan sempurna berjaya dijual pada harga £69,000 pada Mac 2022. – Bernama