Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Nursing FT dari Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Kementerian Kesihatan, muncul juara Kejohanan Futsal Piala Kementerian Kesihatan selepas menewaskan Synergy FT dari Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait 1-0 dalam perlawanan yang sengit di Kompleks Sukan, Universiti Brunei Darussalam, semalam.
Perlawanan tersebut menyaksikan gol kemenangan Haji Ediruslan bin Haji Abdul Samad pada lewat separuh masa kedua menjadi detik penentu dalam perlawanan tersebut.
Haji Ediruslan turut menerima Anugerah Pemain Terbaik, manakala Awang Mohd Fadilah bin Chamsudin dari Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) memenangi Anugerah Penjaring Terbanyak dengan lapan gol, dan Awang Mohd Fakhrul Akmal bin Aliasan dari JPKAS meraih Anugerah Penjaga Gol Terbaik. Sementara itu, Dental FT dari Jabatan Perkhidmatan Pergigian, Kementerian Kesihatan dan PJSC berkongsi tempat ketiga.
Hadir selaku tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Majlis penutup turut dimeriahkan dengan perlawanan persembahan antara Health Warriors yang diketuai oleh Menteri Kesihatan dan Transformers yang diketuai oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan.
Sebanyak 15 pasukan menyertai kejohanan itu yang terdiri daripada para pegawai dan kakitangan dari jabatan-jabatan serta bahagian di bawah Kementerian Kesihatan dari keempat-empat daerah.