KALIMANTAN TIMUR, 26 SEPT – Fasa lapan pecah tanah projek infrastruktur di ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, menarik pelaburan asing RP1.15 trilion (AS$1 = RP15,117), menurut Presiden Joko Widodo (Jokowi).
“Pelaburan asing memasuki Nusantara dari Australia dalam sektor pendidikan serta Rusia dan China dalam sektor hartanah,” katanya semasa perasmian beberapa projek pembinaan di Nusantara, Kalimantan Timur, kelmarin.
Australia melabur RP150 bilion untuk pembangunan Nusantara manakala Rusia dan China masing-masing melabur RP500 bilion, lapor agensi berita ANTARA.
Menurut Widodo, pelabur asing telah menandatangani surat hasrat (LoI) untuk menyokong pembangunan ibu kota masa depan Indonesia.
Walau bagaimanapun, tidak semua LoI boleh diluluskan serta-merta. Mereka perlu melalui proses pemilihan terlebih dahulu, dengan rancangan pelaburan disesuaikan dengan konsep pembangunan Nusantara.
“(Rancangan pelaburan harus) disesuaikan dengan keperluan di Nusantara untuk menyokongnya sebagai ekosistem yang baik serta lokasi yang menarik,” jelas Widodo.
Kelmarin, Presiden juga menyaksikan upacara pecah tanah dua projek pembinaan bernilai RP100 bilion dan RP25 bilion yang dibiayai oleh syarikat negara itu.
Keyakinan pelabur dari dalam dan luar negara menunjukkan bahawa Nusantara adalah tempat yang sangat menarik untuk pelaburan, katanya. – Bernama