Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Obesiti kanak-kanak, remaja meningkat

    Oleh Sim Y. H. –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Lebih daripada 340 juta orang kanak-kanak dan remaja mengalami berat badan berlebihan dan obesiti pada 2016, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
     
    Isu obesiti dalam kalangan kanak-kanak merupakan salah satu cabaran kesihatan awam global paling serius yang menjejaskan setiap negara. 
     
    Di Negara Brunei Darussalam, kaji selidik Global School-based Health Survey (GSHS) 2019 menunjukkan kadar obesiti dalam kalangan remaja yang berumur 13 hingga 17 tahun adalah 18.1 peratus, meningkat daripada 17.4 peratus pada 2014. 
     
    Kadar itu merupakan kadar yang tertinggi dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara. Manakala kadar berat badan berlebihan dalam kalangan remaja juga tinggi iaitu 35.6 peratus pada 2019, berbanding 35.2 peratus pada 2014. Saringan kesihatan yang dijalankan oleh Perkhidmatan Kesihatan Sekolah, Kementerian Kesihatan bagi pelajar-pelajar di seluruh negara juga mendapati kadar berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan pelajar Tahun 1, 4 dan 7 dalam tempoh lima tahun kebelakangan adalah di antara 25 peratus ke 30 peratus.
     
    “Masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak ini sangat membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan kesejahteraan emosi dan mental termasuk perasaan kemurungan, tekanan (stres) yang tinggi, kebimbangan yang melampau dan perasaan terasing secara sosial.” 
     
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham mengunjungi petak pameran sempena Sambutan Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2024. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara aktiviti yang diadakan semasa Hari Kesihatan Mulut Sedunia.- GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Perkara berkenaan dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusannya sempena Hari Obesiti Sedunia 2024.
     
    Beliau menyatakan masalah emosi dan mental tersebut boleh berterusan sehingga dewasa. 
     
    “Jika masalah obesiti ini tidak dibendung dari awal, trend ini akan terus meningkat dan kanak-kanak yang obes mempunyai risiko yang tinggi menjadi dewasa yang obes dan mengalami masalah kesihatan disebabkan oleh penyakit-penyakit tidak berjangkit.”
     
    Terdahulu dalam perutusannya, Yang Berhormat Dato menyatakan obesiti merupakan salah satu faktor risiko utama bagi penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi dan beberapa jenis kanser.
     
    Obesiti juga dikategorikan sebagai salah satu isu kesihatan awam utama di seluruh dunia disebabkan kesan negatif terhadap kesihatan, produktiviti dan ekonomi negara.
     
    Menurut laporan World Obesity Atlas 2023 daripada Persekutuan Obesiti Sedunia, kira-kira 2.6 bilion iaitu 38 peratus penduduk dunia mengalami berat badan berlebihan dan obesiti pada 2020 dan jumlah itu dijangka meningkat kepada empat bilion iaitu melebihi 50 peratus penduduk dunia pada 2035, jika tidak ada tindakan dan langkah pencegahan diambil untuk mengurangkan peningkatan kadar obesiti berkenaan.
     
    Dalam hubungan itu, Hari Obesiti Sedunia disambut pada setiap 4 Mac untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman orang ramai mengenai punca obesiti dan tindakan-tindakan yang perlu diambil bagi menanganinya. 
     
    Yang Berhormat Dato menyatakan tema sambutan Hari Obesiti Sedunia di Negara Brunei Darussalam pada 2024 ialah Mari Berbicara Mengenai Obesiti dan Kanak-kanak, di mana ia menumpukan perhatian terhadap masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak termasuk para remaja.
     
    Menurut kaji selidik GSHS 2019, Yang Berhormat menyatakan 78.7 peratus remaja tidak mengamalkan pemakanan buah-buahan yang cukup dan sebanyak 86.8 peratus remaja berkenaan tidak mengamalkan pengambilan sayur-sayuran yang cukup iaitu sekurang-kurangnya dua hidangan sehari. 
     
    “Kaji selidik tersebut juga mendapati 40 peratus remaja mengambil minuman berkarbonasi sekurang-kurangnya sekali setiap hari. Sebanyak 89 peratus remaja juga tidak mengamalkan aktiviti fizikal seperti yang disarankan oleh WHO iaitu sekurang-kurangnya 60 minit sehari.” 
     
    Yang Berhormat Dato menyatakan kekurangan aktiviti fizikal dan amalan pemakanan yang kurang sihat daripada peringkat awal dipengaruhi oleh keadaan persekitaran kanak-kanak seperti amalan kebiasaan di rumah, penggunaan skrin atau gajet secara berlebihan, jadual persekolahan, pemasaran makanan dan minuman yang berkhasiat dan sebagainya.
     
    Oleh yang sedemikian, Kementerian Kesihatan telah melancarkan inisiatif pencegahan obesiti termasuk mengukuhkan dasar-dasar  yang berkaitan seperti Pemakanan Ibu, Anak Damit dan Kanak-kanak Kecil bagi menyokong, mempromosi dan melindungi amalan penyusuan susu ibu, Kod Pemasaran Makanan dan Minuman Yang Berhemah Kepada Kanak-kanak bagi melindungi kanak-kanak daripada kesan pengiklanan makanan dan minuman yang tidak berkhasiat serta cukai ke atas minuman yang mengandungi gula.
     
    Selain itu, bekerjasama dengan pelbagai sektor melalui tindakan-tindakan yang telah digariskan di dalam Brunei Darussalam National Multi-sectoral Action Plan on Non-Communicable Diseases (BruMAP-NCD) 2021-2025, termasuk langkah-langkah untuk mewujudkan persekitaran pemakanan yang lebih sihat dan kondusif serta menyokong aktiviti fizikal dalam masyarakat. 
     
    Yang Berhormat Dato menekankan lagi pencegahan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak memerlukan usaha, penglibatan dan komitmen dari semua pihak termasuk individu, ibu bapa, sekolah-sekolah, industri makanan dan minuman dan sektor-sektor lain yang berkaitan bagi membentuk persekitaran kanak-kanak untuk menjadi lebih sihat. 
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...