GUANGZHOU, 12 OKT – Obor temasya Sukan Para Asia Hangzhou dinyalakan di Guangzhou, selaku tuan rumah Sukan Para Asia pertama hari ini, menyatukan atlet dari 41 negara dan wilayah di seluruh Asia.
Guangzhou menjadi tuan rumah Sukan Para Asia yang julung kali diadakan pada 2010.
“Sejak itu, api Sukan Para telah ditempatkan secara kekal di Guangzhou, menjadi saksi kepada aspirasi kolektif One Asia, One World, yang menerangi semangat kesukanan yang berterusan serta warisannya,” kata setiausaha Jawatankuasa Perbandaran Guangzhou CPC, Guo Yonghang.
Tanglung api akan diangkut ke Hangzhou dengan kereta api berkelajuan tinggi diiringi pegawai dari jawatankuasa penganjur sukan.
Larian obor untuk Sukan Para Asia Hangzhou 2022 bermula pada 19 Oktober dan obor utama akan dinyalakan pada majlis perasmian pada 22 Oktober.
Sukan Para Asia keempat akan diadakan di Hangzhou dari 22 hingga 28 Oktober. – Bernama
