WELLINGTON, 23 JAN — Rakyat New Zealand dijangka berdepan sekatan baharu COVID-19 selepas sembilan kes varian Omicron dikesan dalam sebuah keluarga yang tiba di Auckland bagi menghadiri majlis perkahwinan awal bulan ini, Perdana Menteri Jacinda Ardern (gambar-AFP) mengumumkan hari ini.
Negara itu akan melaksanakan tahap ‘amaran merah’ bagi respons pandemiknya, termasuklah mempertingkatkan langkah-langkah seperti perlu memakai pelitup muka dan mengehadkan perhimpunan yang akan berkuat kuasa Isnin.
Ardern bagaimanapun menekankan ‘amaran merah’ bukanlah perintah berkurung, menegaskan perniagaan akan kekal dibuka dan orang ramai masih boleh melawat dan mengunjungi rakan-rakan serta bergerak bebas di seluruh negara.
“Rancangan kami menguruskan kes Omicron pada tahap awal masih sama dengan Delta, di mana kita akan membuat ujian pantas, pengesanan kontak dan mengasingkan kes-kes serta kontak dalam usaha memperlahankan penularan,” Ardern memberitahu wartawan di Wellington hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menunda majlis perkahwinannya kerana jangkitan Omicron yang semakin banyak, menurut laporan Sputnik.
“Apabila melibatkan majlis, sama ada hari jadi atau perkahwinan atau apa-apa jenis acara seumpama itu, perhimpunan dihadkan hanya kepada 100 orang dengan amaran tahap merah bermula pada 11:59 (10:59 GMT) malam ini,” kata Ardern pada sidang akhbar Ahad, seperti yang dipetik oleh The New Zealand Herald, dan menambah kata bahawa perhimpunan orang yang tidak divaksin pula dihadkan kepada 25 orang.
Mengulas mengenai perkahwinannya sendiri, perdana menteri berkata beliau juga sama dengan warga New Zealand yang lain.
“…perkahwinan saya tidak akan diteruskan tetapi saya juga tergolong dalam ramai lagi warga New Zealand yang pernah mengalami pengalaman serupa disebabkan pandemik,” kata Ardern.
Perdana menteri itu merancang untuk berkahwin dengan pasangannya Clarke Gayford pada musim panas ini di Gisborne, menurut The New Zealand Herald. Pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan, Neve. – AP/Bernama