Monday, July 1, 2024
21.9 C
Brunei

    -

    Onigiri: Makanan jiwa rakyat Jepun

    TOKYO – Perkataan ‘onigiri’ menjadi sebahagian daripada Kamus Inggeris Oxford tahun ini, bukti bahawa bebola nasi melekit yang ringkas dan makanan utama Jepun itu telah memasuki leksikon global.
     
    Bebola nasi itu disumbat pelbagai jenis inti dan biasanya dibalut dengan rumpai laut. Ia adalah hidangan harian yang melambangkan ‘washoku’ – masakan tradisional Jepun yang telah disenaraikan sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO sedekad yang lalu.
     
    Onigiri ialah “makanan segera, makanan perlahan dan makanan jiwa,” kata Yusuke Nakamura, yang mengetuai Persatuan Onigiri, sebuah kumpulan perdagangan di Tokyo.
     
    Segera kerana awda boleh menemuinya walaupun di kedai serbaneka. Perlahan kerana menggunakan ramuan dari laut dan gunung, katanya. Dan makanan jiwa kerana ia sering dihasilkan dan dimakan dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan. Tiada alat diperlukan, cuma kedua-dua tangan.
     
    “Ia juga mudah dibawa, makanan yang mudah didapati oleh semua orang,” katanya.
    Yosuke Miura bercakap di Onigiri Asakusa Yadoroku, restoran onigiri tertua di Tokyo, pada 3 Jun 2024. – AP
    Pelbagai onigiri, bebola nasi, dilihat di atas pinggan di kedai Taro Tokyo Onigiri di Tokyo. – AP
    Miyuki Kawarada, Ketua Eksekutif Rice Republic Inc., menyusun bebola nasi di kedai Taro Tokyo Onigiri miliknya di Tokyo, pada 5 Jun. – AP
    Pelancong dari Australia makan onigiri di kedai Taro Tokyo Onigiri di Tokyo. – AP
    Yosuke Miura membentuk nasi menjadi segi tiga di kedainya. – AP
    Yosuke Miura membuat bebola nasi dengan hirisan salmon panggang di Onigiri Asakusa Yadoroku. – AP
    Onigiri dalam bentuk terawalnya dipercayai wujud sekurang-kurangnya pada awal abad ke-11, ia disebut dalam karya Murasaki Shikibu, The Tale of Genji. Ia muncul dalam filem klasik 1954 Akira Kurosawa bertajuk Seven Samurai sebagai hadiah tanda terima kasih daripada petani.
     
    Apa sebenarnya yang terkandung dalam onigiri? Ciri-ciri beras Jepun yang melekit adalah penting.
     
    Apa yang diletakkan di dalamnya digelar ‘gu’, atau inti. Gu yang telah lama menjadi kegemaran adalah umeboshi, atau plum masin. Atau mungkin mentaiko, iaitu telur ikan pedas. Tetapi pada dasarnya, apa sahaja boleh diletakkan di dalam onigiri, walaupun sosej atau keju.
     
    Kemudian bebola itu dibalut dengan rumpai laut. Malah sebiji onigiri besar yang sedap boleh dijadikan satu hidangan, walaupun ramai orang akan makan lebih banyak.
     
    Ada yang memilih onigiri klasik Yosuke Miura, yang mengendalikan Onigiri Asakusa Yadoroku, sebuah restoran yang diasaskan pada 1954 oleh neneknya. 
     
    Yadoroku, yang secara kasar diterjemahkan kepada ‘tidak ada gunanya’, dinamakan sempena suaminya, datuk Miura. Ia didakwa sebagai restoran onigiri tertua di Tokyo.
     
    Hanya terdapat dua meja dan kaunter mempunyai lapan kerusi. Bawa pulang menjadi pilihan, tetapi pelanggan masih perlu berbaris.
     
    “Tiada siapa yang tidak suka onigiri,” kata Miura sambil tersenyum di belakang kaunter kayu. 
     
    Dalam bekas pameran di hadapannya adalah barisan mangkuk gu, termasuk salmon, udang dan halia berperisa miso. “Pada dasarnya ia tidak istimewa. Setiap orang Jepun pasti 100 peratus pernah memakannya.”
     
    Juga seorang pemain flut klasik, Miura melihat onigiri sebagai kejayaan yang diturunkan daripada neneknya, yang akan dihasilkannya semula dengan setia.
     
    “Dalam muzik klasik, awda memainkan apa yang tertulis pada helaian muzik. Onigiri adalah sama,” katanya. “Awda tidak mahu melakukan sesuatu yang baharu.
     
    Yadoruku terletak di kawasan lama dan pelik di Tokyo bernama Asakusa. Ia dibuka pada 11:30 pagi dan ditutup apabila ia kehabisan beras, biasanya dalam masa sejam. Kemudian ia dibuka semula untuk makan malam. 
     
    Onigiri paling mahal berharga 770 yen (AS$4.90), dengan telur salmon, manakala yang paling murah 319 yen (AS$2). Ia termasuk sup miso. Tiada tempahan yang diambil.
     
    Walaupun onigiri boleh berbentuk bulat atau segi empat sama, berbentuk haiwan atau bintang, bentuk standard Miura adalah segi tiga. Dia membuatnya mengikut pesanan, di hadapan mata pelanggan, hanya mengambil masa 30 saat untuk setiap satu.
     
    Dia meletakkan nasi panas dalam acuan segi tiga yang kelihatan seperti pemotong biskut, menyapu garam pada tangannya dan kemudian merangkup nasi – tiga kali untuk menegangkan bahagian tepinya. Nori yang rangup, atau rumpai laut, dibalut seperti sapu tangan di sekeliling nasi.
     
    Rasa pertama hanyalah nori dan nasi. Kemudian barulah gu.
     
    “Onigiri Yadoroku tidak akan berubah sehingga penghujung dunia,” kata Miura sambil tersengih.
     
    Lain pula bagi Miyuki Kawarada yang ingin mencuba pelbagai gu menerusi Taro Tokyo Onigiri, yang mempunyai empat cawangan di Jepun. Dia juga mengintai penubuhan cawangan di  Los Angeles dan kemudian Paris. 
     
    Impiannya adalah untuk menjadikan onigiri sebagai ‘makanan segera dunia’.
     
    Nama Taro dipilih kerana ia adalah nama biasa di Jepun setara dengan John atau Michael. Onigiri, katanya, mempunyai daya tarikan amat besar  kerana ia mudah dibuat, bebas gluten dan versatil.
     
    Dan makanan Jepun lain seperti ramen dan susyi telah meraih populariti di seluruh dunia, katanya.
     
    Di kedainya yang ceria dan moden, pekerja yang memakai kemeja-T syarikat berwarna khaki sibuk menyediakan gu dan bebola nasi di dapur yang kelihatan di belakang mesin tunai. Kedai itu hanya menyediakan makanan bawa pulang.
     
    Onigiri Kawarada mempunyai banyak gu di atasnya, untuk topping berwarna-warni, bukannya di dalam. Setiap satu didatangkan dengan sekeping nori yang dibalut berasingan untuk diletakkan di sekelilingnya sebelum dimakan.
     
    Gu yang dihasilnya kini menjadi semakin mencabar. Keju krim dicampur dengan jeruk pedas Jepun yang dinamakan ‘iburigakko,’ sebagai contoh, dan setiap onigiri berharga 250 yen (AS$1.60).
     
    Spam dan onigiri telur berharga 300 yen (AS$1.90), manakala gu yang dihiasi dengan beberapa jenis ‘kombu’, atau kelp yang boleh dimakan, dipanggil ‘Dashi Punch X3,’ berharga 280 yen (AS$1.80).
     
    “Onigiri adalah dunia tanpa had. Kami tidak terikat dengan tradisi,” kata Kawarada.
     
    Seorang pelanggan, Asami Hirano yang singgah ketika bersiar-siar  bersama anjingnya, mengambil masa yang lama memilih hidangannya di Taro Tokyo Onigiri baru-baru ini.
     
    “Saya sentiasa menyukai onigiri sejak saya kecil. Ibu saya membuatnya,” katanya.
     
    Nicolas Foo Cheung, seorang warga Perancis yang bekerja sebagai pelatih di syarikat berdekatan, pernah ke Taro Tokyo Onigiri beberapa kali sebelum ini dan berpendapat ia adalah tawaran yang bagus. “Ia makanan yang senang,” katanya.
     
    Miki Yamada, seorang promoter makanan, dengan sengaja menggelar onigiri sebagai ‘omusubi’, perkataan biasa lain untuk bebola nasi, kerana ia lebih jelas merujuk kepada idea hubungan. 
     
    Beliau berkata misi hidupnya adalah untuk menyatukan orang ramai, terutamanya sejak bencana gempa bumi, tsunami dan nuklear melanda ladang padi keluarganya di Fukushima, timur laut Jepun, pada 2011.
     
    “Selepas berhadapan dengan omusubi, saya telah menemui kerohanian, asas orang Jepun,” katanya.
     
    Tidak ada yang lebih baik, katanya, daripada omusubi nasi Aizu kosong dengan secubit garam dan tiada apa-apa di dalamnya.
     
    “Ia memberikan awda tenaga. Ia adalah makanan paling menyenangkan,ringkas dan dicari-cari semua orang,” katanya. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hujan menyebabkan kematian, kemusnahan di beberapa negeri di India

    NEW DELHI, 1 JULAI – Selepas gelombang haba yang membawa maut, India kini bergelut dengan hujan monsun yang lebat, yang telah menyebabkan banjir kilat,...