Wednesday, April 23, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi Catat pelbagai kesalahan jalan raya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Sembilan pemandu telah dikenakan kompaun kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu dalam tempoh enam bulan pertama 2019 berbanding 10 yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

    Dalam tempoh sama, dua pemandu dikenakan kompaun bagi kesalahan tidak menggunakan dan memasang tali pinggang keselamatan atau tali keledar ketika memandu berbanding 17 orang pemandu tahun lalu.

    Kompaun-kompaun berkenaan dikeluarkan dalam operasi bersepadu On The Move yang dijalankan secara berterusan oleh Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) bersama Pasukan Polis Diraja Brunei, menurut kenyataan yang dikeluarkan JPD, hari ini.

    Sementara itu, semalam, dalam satu operasi yang dijalankan, beberapa kenderaan berat dan treler milik Syarikat D & J Transport Services dan Brunei Transporting Company telah didapati melakukan kesalahan kerana diletakkan di tempat yang tidak dibenarkan dan boleh membahayakan orang awam dan pengguna jalan raya lain. Manakala itu, seorang pemandu kenderaan berat warga asing telah dikenakan kompaun $50 di tepi jalan raya kawasan Serasa pada 21 Ogos dan JPD juga telah mengeluarkan notis penggantungan sementara Lesen Sewa dan Upah selama tiga bulan kepada Brunei Transporting Company.

    JPD dalam kenyataannya, sekali lagi mengingatkan semua pengusaha dan pemilik syarikat-syarikat pengangkutan supaya akan dapat memastikan pemandu-pemandu kenderaan berat dan komersil milik syarikat masing-masing meletakkan kenderaan di tempat yang dikhaskan dan bukannya di tepi-tepi jalan raya.

    JPD juga mengingatkan pemandu-pemandu kenderaan berat supaya mengamalkan pemanduan yang berhati-hati dan mengikut had laju yang ditetapkan terutama pada waktu malam.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda