Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Seorang perempuan warga asing telah didapati bekerja dengan menggunakan pas lawatan sosial semasa Operasi SAKAT Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) yang menyasarkan sebuah kedai menjual aksesori, di Mukim Gadong A, kelmarin.
Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK Bandar Seri Begawan dalam kenyataan yang dikeluarkan menyatakan, perempuan berkenaan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9 (4) Peraturan Imigresen Penggal 17.
Kesalahan melanggar syarat-syarat pas imigresen boleh dikenakan penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih $2,000 atau kedua-duanya sekali. Tindakan seterusnya, pas kerja dibatalkan dan diusir dari negara ini.
Mana-mana majikan yang mengambil, menggaji pesalah imigresen pula boleh dikenakan denda sebanyak $3,000 bagi setiap seorang pesalah Imigresen.


