Monday, October 14, 2024
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi Speedo: Tujuh lagi diberkas

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Setakat ini, tujuh individu berusia 25 hingga 33 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah telah berjaya di tahan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) semasa operasi susulan yang dijalankan bermula 17 Ogos lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BKN, penangkapan tersebut adalah kesinambungan daripada Operasi Speedo berikutan penahanan dalang utama operasi pada 9 Ogos lalu.

    Operasi susulan itu telah merampas sebanyak 3.74 gram syabu, alat perkakas untuk menyalahgunakan dadah, beberapa unit telefon bimbit, beberapa keping kad debit dan satu unit komputer riba dipercayai digunakan dalam menjalankan kegiatan pengedaran dadah.

    Jumlah dadah yang dirampas adalah tidak signifikan kerana individu yang berkaitan dengan sindiket ini diketahui dalam keadaan bersiap sedia untuk ditangkap dan dengan ini, tidak menyimpan dadah bersama mereka.

    Hasil daripada siasatan lanjut, selain daripada menjalankan kegiatan pengedaran dadah di Negara Brunei Darussalam, sindiket ini turut beroperasi membekalkan dan mengedarkan dadah kepada penuntut-penuntut negara ini yang menuntut di beberapa buah institusi pengajian di negara jiran.

    Salah seorang yang ditangkap dalam operasi susulan itu merupakan penuntut berumur 24 tahun yang sedang menuntut di salah sebuah universiti di negara jiran. Suspek telah ditahan oleh BKN pada 18 September kerana didapati terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah yang dijalankan oleh sindiket itu di negara jiran.

    Dalam kesempatan ini, BKN ingin mengingatkan kepada semua rakyat negara ini terutama penuntut di luar negara untuk menjauhi diri daripada kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah. BKN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas sesiapa sahaja yang terlibat dalam jenayah dadah tanpa mengira status dan kedudukan.

    Komputer riba yang digunakan untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah. – GAMBAR SERAHAN BKN
    GAMBAR SERAHAN BKN
    GAMBAR SERAHAN BKN
    GAMBAR SERAHAN BKN
    GAMBAR SERAHAN BKN
    GAMBAR SERAHAN BKN
    GAMBAR SERAHAN BKN
    Antara dadah yang berjaya dirampas oleh pihak berkuasa semasa operasi yang dijalankan baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN BKN

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda