Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Seorang perempuan warga asing telah ditahan oleh pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) semasa Operasi SAKAT JIPK 11/2023 yang menyasarkan pondok gerai makanan dan minuman di kawasan Mukim Berakas, baru-baru ini.
Menurut kenyataan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK Bandar Seri Begawan, di sini, perempuan berkenaan didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15 (2) Imigresen Penggal 17 iaitu bekerja bukan dengan majikan asal.
Kesalahan melanggar syarat-syarat pas imigresen boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih $2,000 atau kedua-duanya sekali. Tindakan seterusnya, pas kerja dibatalkan dan diusir dari negara ini.
Mana-mana majikan yang didapati mengambil, menggaji pesalah imigresen boleh dikenakan denda sebanyak $3,000 bagi setiap seorang pesalah imigresen.
Sehubungan itu, JIPK mengingatkan orang ramai bahawa jabatan berkenaan akan sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan di negara ini dengan melaksanakan secara berterusan pemantauan, operasi dan pemeriksaan secara bersendirian atau bersepadu dengan agensi penguatkuasaan yang lain.
JIPK juga mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung pesalah imigresen dengan menghubungi hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888, di mana seba-rang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/01/P6-1Sakat_27012023-1.jpg)