Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN– Sebuah restoran telah dikenakan Notis Mengosongkan Unit Premis oleh Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) yang telah menjalankan pemeriksaan bersepadu pertama bagi 2023 bersama agensi-agensi kawalan bangunan berkaitan di Bandar Seri Begawan, pada 26 Januari lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ABCi, di sini, dalam pemeriksaan berkenaan, sebuah syarikat perniagaan didapati beroperasi di tiga buah unit kedai yang diubahsuai tanpa mendapatkan permit kesiapan kemajuan iaitu Occupation Permit (OP) terlebih dahulu.
Syarikat berkenaan iaitu sebuah restoran telah dikeluarkan Notis Mengosongkan Unit Premis seperti mana diperuntukkan di bawah Seksyen 16 (1) (a), Perintah Kawalan Bangunan; 2014 iaitu tiada seorang pun boleh menduduki, membenarkan atau menyebabkan untuk diduduki, mana-mana bangunan atau bahagiannya di mana kerja bangunan telah dijalankan melainkan pihak berkuasa telah mengeluarkan OP dalam bangunan itu atau bahagian dari bangunan itu.
Mana-mana orang yang melanggar seksyen berkenaan melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi $20,000, penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
ABCi mengingatkan bahawa pemilik, pengusaha dan penyewa unit /atau premis bangunan adalah dikehendaki mematuhi Perintah Kawalan Bangunan, 2014 (BCO), Peraturan-peraturan Kawalan Bangunan, 2014 (BCR), piawaian dan garis panduan yang berjalan pada masa ini bagi sebarang kerja-kerja ubahsuai dan tambahan unit atau premis dengan melantik orang yang berkelayakan (Qualified Person) yang sah berdaftar dan mempunyai Sijil Penjalan Amalan di bawah Lembaga Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan (BAPEQS), Kementerian Pembangunan dan kerja-kerja pembinaan tersebut hendaklah dilaksanakan oleh pembina yang mempunyai pendaftaran sah di bawah Kementerian Pembangunan serta mempunyai kategori kerja yang bersesuaian.
ABCi menyatakan lagi bahawa tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Perintah Kawalan Bangunan, 2014 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bangunan, 2014.
Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut, mereka boleh melayari laman sesawang www.abci.gov.bn.
