TOKYO – Dengan menjual jaket yang telah dilengkapi dengan kipas terpasang di dalamnya, penyejuk leher dan kemeja T yang memberi rasa sejuk, syarikat-syarikat Jepun kini sedang merebut peluang dalam pasaran yang semakin berkembang untuk produk yang membantu orang ramai mengatasi gelombang haba musim panas.
Sepertimana di kebanyakan negara lain, Jepun juga mengalami musim panas yang semakin meningkat.
Bulan Julai merupakan yang paling panas direkodkan dalam 100 tahun, dengan sekurang-kurangnya 53 orang meninggal dunia akibat penyakit haba dan hampir 50,000 orang memerlukan perhatian perubatan kecemasan.
Workman, yang menghasilkan pakaian untuk pekerja pembinaan, melancarkan versi jaket mereka yang dilengkapi dengan kipas untuk pasaran am pada tahun 2020 apabila permintaan meningkat.
Mekanisme yang digunakan adalah mudah, iaitu dua kipas elektrik berukuran tapak tangan yang dikuasakan oleh bateri yang boleh dicas semula dan dipasang di bahagian belakang jaket.
Kipas-kipas ini menarik udara untuk menghasilkan angin – pada kelajuan yang berbeza – ke atas badan pemakai.
Harga jaket itu dijual pada harga AS$82 hingga AS$164.
“Apabila cuaca menjadi lebih panas, orang yang sebelum ini tidak pernah memakai pakaian yang dilengkapi dengan kipas mahu mencari cara untuk sejuk, jadi lebih ramai orang berminat untuk membelinya,” kata jurucakap Workman, Yuya Suzuki, kepada AFP.
“Sama seperti ketika awda berasa sejuk di rumah dengan kipas, awda akan berasa sejuk hanya dengan memakai (jaket ini) kerana angin yang menghembus melalui badan awda sepanjang masa,” katanya.
Penduduk warga emas semakin berisiko Musim panas di Jepun dikenali kerana cuaca yang panas dan lembap, tetapi pada bulan Julai ini, Tokyo benar-benar berpeluh.
Suhu purata adalah 28.7 Celsius, tertinggi yang pernah direkodkan sejak tahun 1875.
Penyakit haba sangat mematikan di Jepun, yang mempunyai penduduk kedua tertua di dunia selepas Monaco.
Lebih daripada 80 peratus kematian berkaitan dengan haba dalam lima tahun kebelakangan ini berlaku dalam kalangan warga emas.
“Beberapa orang meninggal dunia akibat penyakit haba,” kata Nozomi Takai dari MI Creations, sebuah syarikat yang menjual tiub penyejuk leher terutamanya kepada pekerja kilang dan gudang.
“Individu serta syarikat semakin berusaha untuk mengambil tindakan terhadap hal ini setiap tahun,” kata Takai.
Gel di dalam tiub berwarna cerah, yang dijual pada harga 2,500 yen, cukup sejuk untuk digunakan selepas 20 minit dalam peti sejuk.
Memakainya pada leher akan ‘mengurangkan kepanasan pada seluruh badan’ untuk lebih kurang sejam, katanya.
Syarikat Takai menyertai pameran tahun ini mengenai ‘tindakan menentang haba teruk’ di Tokyo untuk memperkenalkan produk baharu yang membantu pengguna tetap sejuk dalam cuaca panas terik.
Di beberapa petak lain antaranya termasuklah sebuah syarikat yang berpangkalan di Tokyo iaitu Liberta, telah mempamerkan beberapa siri pakaian termasuk kemeja T dan lengan baju yang menggunakan cetakan yang membuatkan pengguna berasa sejuk, terutamanya apabila mereka berpeluh.
Cetakan kain itu menggunakan bahan seperti xylitol yang memberikan rasa sejuk apabila bersentuhan dengan air dan peluh, kata mereka.
Chikuma, sebuah syarikat beribu pejabat di Osaka, malah telah mencipta jaket dan baju pejabat yang dilengkapi dengan kipas elektrik.
“Kami menghasilkannya dengan idea bahawa ia boleh dicadangkan di tempat-tempat di mana pakaian santai tidak dibenarkan,” kata Yosuke Yamanaka dari Chikuma.
Pakaian yang biasa dilengkapi dengan kipas boleh membuat pemakai kelihatan kembung, kerana ia perlu dizip dan butang tangan agak ketat.
Tetapi jaket yang dibangunkan secara bersama oleh Chikuma, pembuat alat kuasa Makita dan syarikat gergasi tekstil, Teijin tidak perlu dizip, berkat struktur khas yang menempatkan kipas dalam dua lapisan dan mengekalkan udara sejuk, kata Yamanaka.
Penggunaan payung bagi kaum lelaki Jepun Payung, yang biasanya dikaitkan di Jepun dengan wanita yang peka terhadap warna kulit melindungi diri daripada kulit yang kehitaman akibat musim panas, kini semakin popular dalam kalangan lelaki juga.
Komiyama Shoten, sebuah pengilang payung kecil yang mewah di Tokyo, mula menghasilkan payung untuk lelaki sekitar tahun 2019 selepas kementerian alam sekitar mendorong orang ramai untuk menggunakannya.
Sebelum ini, ramai pelanggan lelaki berpendapat payung hanya digunakan “untuk wanita dan mereka berasa malu,” kata pemiliknya, Hiroyuki Komiya.
“Sekali awda menggunakannya, awda tidak mahu melepaskannya,” tambahnya.
Di jalan-jalan sibuk destinasi pelancongan popular Asakusa, Kiyoshi Miya, 42, berkata dia memutuskan untuk ‘menggunakan payung hujan sebagai payung matahari.’
“Saya sentiasa berada di bawah naungan dan angin terasa sejuk,” katanya.
Pengunjung lain, Shoma Kawashima, memakai kipas boleh dipakai di lehernya untuk kekal sejuk di bawah cahaya matahari yang terik.
“Cuacanya sangat panas pada tahap yang melampau,” menurut lelaki berusia 21 tahun itu. Gajet-gajet tersebut memang membantu, tetapi ia ‘bukanlah penyelesaian’ kepada suhu yang panas meningkat, tambahnya. – AFP