NEW YORK – Kini sudah tiba masanya untuk menyaksikan fesyen yang diperagakan pada Sukan Olimpik yang dilancarkan di Tokyo hari ini, di mana para atlet dari serata dunia akan berarak di belakang pembawa bendera mereka. Dan dalam berbuat demikian juga memperkenalkan pakaian seragam yang digayakan mereka.
Pakaian Olimpik sememangnya menjadi tumpuan media sosial, bermula dengan Perarakan Negara. Penantian selama setahun disebabkan pandemik telah memberikan penggemar fesyen masa tambahan untuk memikirkan apa yang disukai mereka.
Pasukan Republik Czech dengan ciptaan corak blok indigo kipas, telah pun menjadi bahan gurauan. Ia menyusuli fesyen payung negara dan but Wellington warna biru pada 2012 di London serta baju jalur ‘Beetlejuice’ di Rio pada 2016.
Sementara itu, atlet Israel mempunyai jaket nilon jarang dengan poket besar, manakala pasukan Itali mengenakan pakaian ciptaan pereka Emporio Armani dalam sut balapan yang telah diubahsuai untuk memasukkan mata hari terbit Jepun dalam warna bendera Itali, iaitu merah, hijau dan putih. Liberia menerima hadiah pereka fesyen Telfar Clemens, yang mencipta pakaian mereka untuk kali pertama.
Sebelum ini, fesyen pakaian adalah jauh lebih ringkas untuk atlet. Pada awalnya, tidak adanya perarakan atau majlis pembukaan. Atlet hanya memakai apa yang dipilih oleh mereka, sering kali berjalan bersama peralatan sukan mereka.

“Fesyen tidak diberi tumpuan pada awal Olimpik,”kata David Wallechinksy, ahli lembaga eksekutif dan bekas presiden Persatuan Ahli Sejarah Olimpik Antarabangsa. “Orang hanya datang untuk menyaksikan acara. Jika sebuah pasukan mahu berpakaian sedondon, mereka akan berbuat demikian.”
Pakaian pada masa itu merupakan satu pilihan semasa pertandingan, menurut sarjana. Atlet sering bertanding tanpa pakaian di Greece. Dalam era moden, pakaian seragam perarakan sentiasa memberi penghormatan kepada negara tuan rumah, selain tradisi, kejayaan olah raga dan semangat patriotik.
Tahun ini, pandemik telah memperkenalkan elemen baharu: penutup mulut dan hidung.
Australia menawarkan atlet blazer yang disulam dengan nama 320 pemenang pingat emas Olimpik. Untuk upacara penutup, penganjur Olimpik Kanada bergabung dengan Levi’s untuk mengeluarkan jaket denim ‘Tuksedo Kanada’ dengan grafiti Jepun untuk dipakai bersama seluar denim putih.
Alison Brown, pengacara podcast peminat Olimpik ‘Keep the Flame Alive,’ berkata mereka pakaian untuk pasukan Olimpik termasuk mereka yang bertanding dalam Paralimpik, bukan senang.
“Mereka perlu sesuai untuk semua jenis tubuh badan. Fikirkan atlet gimnastik kecil, atlet angkat berat yang bertubuh sasa serta pemain bola keranjang yang tinggi lampai. Pakaian perlu menyampaikan sesuatu mesej mengenai negara, menghormati tuan rumah, tidak serius namun cukup praktikal untuk rasa selesa semasa berdiri berjam-jam di bawah cahaya matahari,” katanya.
Brown merupakan peminat pakaian seragam pasukan Czech, direka oleh Zuzana Osako di Prague. Corak termasuk tulang belakang pasukan, seorang ahli gimnastik, direka dalam corak pakaian. Lelaki akan memakai ves biru bersama seluar putih manakala wanita dalam blaus biru dan skirt putih.
“Mereka berjaya menggabungkan elemen tradisi rakyat Czech, teknik mewarna tradisional indigo Jepun namun masih mengekalkan keselesaan pakaian semasa bertanding dalam cuaca panas,” ujar Brown.
Mengenai jaket denim Kanada, beliau berkata: “Saya rasa memakai sesuatu yang sama pada 1987. Saya tertanya-tanya sama ada sesiapa di bawah umur 12 tahun mahu memakainya.”
Brown juga tidak suka penampilan pasukan Amerika Syarikat (AS). Mereka termasuk seluar denim biru untuk perarakan pembukaan dan seluar denim putih untuk upacara penutup.
“AS kekal dengan pereka fesyen sama, Ralph Lauren, bertahun-tahun lamanya, mendorong kepada satu lagi penampilan perahu layar. Sungguh membosankan,” katanya. “Juga cuaca dijangka amat panas di Tokyo. Jeans, blaus berkait, skarf dan blazer? Siapa yang mahu memakai denim dalam cuaca panas dan lembap?”
Pakaian seragam Jepun mengingatkan kembali kepada pakaian yang dipakai oleh pasukan Jepun pada upacara pembukaan Olimpik yang diadakan di Tokyo pada 1964. Pada masa itu, jaket berwarna merah dan seluar pula warna putih. Warna tersebut bertukar pada tahun ini.
Penampilan pakaian kegemarannya setakat ini adalah dari Mexico. Jawatankuasa Olimpik Mexico mengadakan pengundian negara dalam talian untuk memilih pakaian upacara pembukaan daripada tiga corak yang direka oleh High Life. Corak yang menang mengiktiraf Oaxaca dalam lapel warna yang terang.
“Blazer itu termasuk satu lapel bunga dalam sulaman tradisional Zapotec. Amat cantik tanpa bersifat terlalu kostum,” kata Brown.
Sulaman dilakukan oleh artisan Oaxaca, menghasilkan setiap lapel di antara 150 blazer corak yang berlainan, kata Jeannette Haber, pengarah pemasaran High Life. Menurutnya, artisan berasa ‘gembira untuk menyertai projek tersebut, dan corak mereka serta kerja mereka boleh menerima pendedahan di serata dunia.’
Koleksi penuh untuk dijual kepada pengguna adalah berkisar kepada apa yang dipakai oleh atlet Olimpik semasa upacara pembukaan.
“Ia merupakan saat yang bersejarah untuk jenama berkenaan memaparkan semangat berpasukan serta inovasi mereka dalam teknologi baharu,” kata Ted Stafford, pengarah fesyen majalah Men’s Health dan pengarah pemasaran untuk majalah Esquire.
Ia termasuk corak penyejuk Ralph Lauren yang dibina dalam jaket denim putih untuk pembawa bendera Pasukan AS.
“Ia merupakan arena dunia dan ia menetapkan suasana,” kata Stafford. “Ia lebih daripada satu pertunjukan fesyen besar.” – AP