Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pakar kebudayaan seru PBB lindungi warisan Lubnan

    BEIRUT, 17 NOV – Ratusan pakar kebudayaan, termasuk ahli arkeologi dan akademik, menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk melindungi warisan Lubnan yang sedang terancam akibat konflik bersenjata, menurut satu petisyen yang diterbitkan hari ini menjelang mesyuarat penting UNESCO.

    Serangan udara oleh Israel yang berlaku beberapa minggu kebelakangan ini di Baalbek di timur dan Tyre di selatan, kedua-duanya kubu kuat kumpulan Hizbullah yang telah mengenai kawasan berhampiran tapak runtuhan Rom purba yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

    Petisyen yang ditandatangani oleh 300 tokoh budaya terkenal itu dihantar kepada Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay, sehari sebelum sesi khas di Paris yang akan membincangkan status perlindungan khas untuk tapak-tapak budaya di Lubnan.

    Petisyen tersebut menyeru agar UNESCO melindungi Baalbek dan tapak warisan lain dengan menubuhkan ‘zon tanpa sasaran’, menempatkan pemerhati antarabangsa, serta menguatkuasakan langkah perlindungan yang termaktub dalam Konvensyen Hague 1954 mengenai warisan budaya dalam konflik.

    “Warisan budaya Lubnan secara keseluruhannya kini terancam oleh serangan berulang terhadap bandar purba seperti Baalbek, Tyre dan Anjar, yang semuanya merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO, selain mercu tanda sejarah yang lain,” menurut petisyen tersebut.

    Petisyen itu juga turut menggesa negara-negara berpengaruh agar menekan pihak-pihak yang terlibat untuk menghentikan tindakan ketenteraan yang merosakkan atau memusnahkan tapak warisan, serta menambah perlindungan atau mengenakan sekatan.

    Change Lebanon, badan amal yang memulakan petisyen itu menyatakan bahawa penandatangan termasuk kurator muzium, ahli akademik, ahli arkeologi dan penulis dari Britain, Perancis, Itali dan Amerika Syarikat.

    Status perlindungan khas dapat memberikan tapak warisan ‘kekebalan daripada serangan ketenteraan’, menurut UNESCO. – AFP

    Gambar menunjukkan kemusnahan di tapak serangan udara Israel yang menyasarkan Baalbek di timur Lembah Bekaa Lubnan pada 7 November lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda