Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pamer semangat ‘matador’ – Ranieri

    SEVILLE, 22 Feb – Pengurus Leicester City yang di bawah tekanan, Claudio Ranieri telah menggesa para pemainnya untuk menunjukkan semangat ‘matador’ untuk membuat kejutan besar dalam Liga Juara-Juara ke atas pasukan Sepanyol, Sevilla.

    Setahun selepas memenangi kejuaraan Liga Perdana, skuad Ranieri kini hanya satu mata di atas zon penyingkiran.

    Namun, warga Itali itu berharap dengan kurangnya tekanan sekembali mereka bagi aksi Liga Juara-Juara, Leicester boleh menyeru semangat juara musim lepas.

    “Saya mahu semangat gladiator, matador,” kata Ranieri apabila ditanya sama ada para pemainnya akan disembelih di Sanchez Pizjuan.

    “Kami tahu mereka lebih bagus berbanding kami, tetapi kami tahu kami boleh berjuang.

    “Kami perlu berjuang dengan kepala memandang ke atas dan dada ke depan.”

    Perbezaan prestasi antara Leicester dan Sevilla memang jelas dengan Sevilla bermain baik dalam La Liga serta telah memenangi Liga Europa dalam tiga musim kebelakangan ini.

    “Kami pasukan bukan pilihan yang serius. Jika anda lihat apa yang Sevilla capai dalam 10 tahun kebelakangan ini, mereka sudah terbiasa berada di kedudukan teratas,” tambah Ranieri.

    Namun, dengan prestasi terbaik Leicester dalam Liga Juara-Juara setakat ini, Ranieri berharap satu malam terkenal Eropah mampu menterbalikkan nasib mereka dalam kempen ketika ini.

    “Esok nasib kami mungkin bertukar. Jika kami tewas tidak ada apa yang akan terjadi, tetapi jika kami menang, sesuatu di dalam diri kami akan berubah dan kami memerlukan perlawanan seperti itu.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda