Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Pameran Majlis Ilmu terap konsep taubat, munajat

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Dengan melakar keistimewaan tema Majlis Ilmu 2023, Munajat Senegara dengan Taubat, sememangnya menyimpul harapan tulus secara holistik bagi meningkatkan kefahaman mengenai munajat dan taubat dalam kalangan masyarakat di negara ini serta kepentingan penghayatan dan pengamalannya dalam kehidupan seharian sebagai benteng dalam menempuh liku-liku ujian dan cabaran yang mendatang.

    Ia juga dihasrat agar dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan munajat dan taubat demi bersatu meraih keredaan Allah SWT sesuai dengan landskap Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.​

    MENYELAMI KONSEP MUNAJAT DAN TAUBAT

    Salah satu tarikan yang dibukakan kepada orang ramai di negara ini sejak perasmian Majlis Ilmu 2023 pada 23 November lalu sehingga 29 November ini ialah Pameran Majlis Ilmu yang diadakan di ruang dalam Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

    Menariknya pameran itu menyaksikan gabungan beberapa buah agensi kerajaan yang mengetengahkan matlamatnya dalam meningkatkan kefahaman masyarakat tentang munajat dan taubat merangkumi tatacara dan gaya hidup sihat dalam prinsip Islam, di mana empat ruangan petak telah disediakan pada pameran berkenaan secara keseluruhan.

    Ruangan petak pertama dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU); Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dan Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) yang memperkenalkan mengenai konsep dan kepentingan munajat serta kerelevanannya dengan taubat.

    Bergambar ramai antara wakil kakitangan PSB yang hadir pada pameran tersebut di ICC, Berakas. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Perwakilan dari Kementerian Kesihatan mengongsikan perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan mental serta inisiatif kerjasama bersama KHEU dan Jabatan Mufti Kerajaan dalam penjagaan dan perlindungan kesihatan mental serta kesejahteraan negara. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Petak pameran dari KUPU SB mengongsikan mengenai makanan yang dianjurkan dalam Islam. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Perwakilan dari KHEU memaparkan tugas dan tanggungjawab Bahagian Kemajuan Syiar Islam selaku Urus Setia Majlis-majlis Hari-hari Kebesaran Islam dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan serta acara atau aktiviti iringan bersempena hari-hari kebesaran Islam pada petak pameran mereka.

    Pada petak pameran PDI pula telah mengongsikan mengenai pelaksanaan Malam Munajat anjuran KHEU dengan pengisiannya, juga dipamerkan kod QR buku-buku terbitan PDI yang berkaitan dengan tema sambutan Majlis Ilmu dan penjelasan mengenai pembinaan Projek Aplikasi Mushaf Brunei. JMK turut tidak ketinggalan memaparkan dua bahan berbentuk video iaitu sedutan video yang diambil daripada tiga buah ceramah Yang Berhormat Mufti Kerajaan mengenai taubat, selain mengongsikan paparan mengenai Fatwa Mufti Kerajaan mengenai arak, rokok dan jenayah syariah.

    Menjejak seketika di ruangan kedua pameran, yang menyaksikan gabungan daripada perwakilan Radio Televisyen Brunei (RTB); Jabatan Penerangan; Pusat Sejarah Brunei (PSB) dan Kementerian Pertahanan yang antaranya mengetengahkan dasar kerajaan yang mendukung amalan munajat dan hubungannya dengan taubat.

    Rentetan itu, RTB dan Jabatan Penerangan turut memaparkan usaha-usaha yang mendukung dasar, inisiatif dan amalan yang mencerminkan kepimpinan dan keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerajaan Baginda dalam aspek pembarigaan yang dilaksanakan melalui pelbagai platform seperti saluran RTB menerusi TV dan corong-corong radio, laman media sosial dan aplikasi mudah alih RTBGo.

    Tambahan pula, Jabatan Penerangan turut tidak melepaskan peluang mengongsikan mengenai akhbar rasmi kerajaan Pelita Brunei, laman media sosial di Instagram, Facebook dan lain-lain serta aplikasi mudah alih InfoDeptBN pada petak pameran mereka.

    Selain itu, PSB juga mengetengahkan mengenai sejarah perkembangan dasar kerajaan dalam mendukung amalan munajat dan kaitannya dengan taubat. Antara bahan yang dipaparkan termasuklah Menelurusi Sejarah Pemerintahan dan Pentadbiran Sultan-sultan Brunei yang berpegang teguh dengan ajaran agama Islam, memelihara, memartabatkan, mendaulatkan agama Islam, mengembangkan syiar Islam dan menjadikannya sebagai amalan dan cara hidup yang syumul.

    Melangkah ke petak seterusnya iaitu pada petak Kementerian Pertahanan telah memaparkan empat segmen antaranya segmen Halaqah Juma’at, program utama mingguan di dalam kementerian tersebut yang melibatkan kesemua warga kementerian meliputi aspek awam dan tentera yang dilaksanakan di ke-semua surau perkhemahan secara serentak; segmen Malam Munajat, merupakan hasil usaha sama menyokong amalan munajat pada peringkat negara; segmen Kursus-kursus dan Kelas Agama; dan segmen Perisian Ugama Secara Rutin.

    Kemudian beredar ke ruangan ketiga pameran, ia memaparkan Doa Taubat dan Zikir Munajat yang mana telah disertai oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), KHEU; Kementerian Pendidikan; Jabatan Pengajian Islam (JPI) dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).

    Apa yang menariknya ialah petak yang disediakan JHEM ini turut menerangkan dan menayangkan video mengenai panduan Sembahyang Sunat Taubat serta bacaan-bacaan zikir selepas sembahyang sunat taubat dan doanya.

    Lantaran itu juga, Kementerian Pendidikan ada juga mengongsikan pelaksanaan mata pelajaran Al-Quran di sekolah-sekolah menengah dan maktab kerajaan serta swasta.
    Berikutan itu, pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan pada 14 Februari 2019 yang lalu, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama KHEU telah melaksanakan mata pelajaran Al-Quran di sekolah menengah dan maktab kerajaan serta swasta bermula pada tahun 2021.

    Sedikit perkongsian juga peruntukan waktu pelaksanaan bagi mata pelajaran Al-Quran sebagai satu mata pelajaran tersendiri yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan ialah satu waktu (25-30 minit) seminggu. Manakala bagi mata pelajaran Al-Quran pula adalah diwajibkan bagi semua pelajar beragama Islam di Tahun 9, 10 dan 11.

    Beralih ke lokasi petak pameran JPI pula turut dikongsikan beberapa program yang menjurus ke arah pengukuhan penghayatan hidup berugama melalui pendekatan didikan dan bimbingan, salah satunya Program Keugamaan Senegara.

    Dalam hal ini, JPI melalui Bahagian Kokurikulum telah mengendalikan program berkenaan sejak tahun 2013 di mana dihasratkan bukan hanya sekadar untuk mengasuh minda para pelajar bahkan juga berperanan untuk membentuk sahsiah terpuji golongan pelajar dan berakhlak mulia melalui penglibatan mereka secara menyeluruh beserta komitmen yang tinggi terhadap segala aktiviti yang dilaksanakan. Di samping itu, ia juga bertujuan bagi meningkatkan keterlibatan guru-guru agama khususnya dalam aktiviti kokurikulum.

    Sementara itu, ITQSHHB juga menyemarakkan petak pameran mereka dengan menampilkan penyediaan klinik bacaan surah-surah, zikir-zikir dan doa-doa yang berkaitan dengan munajat dan taubat.

    Akhirnya, melangkah ke ruangan terakhir pameran pula menyaksikan penglibatan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB); Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Kementerian Kesihatan yang secara umumnya memaparkan mengenai kepentingan dan tatacara gaya hidup sihat dalam Islam.

    Pameran yang dikongsikan KUPU SB ini sememangnya tidak kurang hebat dan cukup menarik juga di mana ia banyak menampilkan mengenai makanan yang dianjurkan dalam Islam serta penerangan mengenainya sekaligus memaparkan gambar-gambar makanan sunnah. Apa yang cukup menarik perhatian ialah setiap gambar disertakan dengan Augmented Reality Marker yang apabila diimbas akan memaparkan khasiat setiap makanan berkenaan menurut sains.

    Sementara itu, jika ditinjau pada pameran KKBS yang membawa tema Hidup Sihat, Berbudaya dan Bermasyarakat telah mempromosikan kesedaran tentang kehidupan sihat, bermasyarakat dan berbudaya dalam kalangan masyarakat Brunei. Pameran berkenaan telah menggabungkan elemen seni dan kebudayaan dalam usahanya untuk mempromosikan kehidupan sihat yang seimbang, sambil memberikan peluang kepada pengunjung untuk berinteraksi menggunakan platform galerisenibrunei.org.

    Tidak ketinggalan juga, perwakilan dari Kementerian Kesihatan mengongsikan perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan mental di bawah kementerian berkenaan serta inisiatif kerjasama di antara Kementerian Kesihatan, KHEU dan JMK dalam penjagaan dan perlindungan kesihatan mental serta kesejahteraan negara.

    UMPAMA GUDANG PERMATA ILMU

    Saban tahun, Majlis Ilmu yang diungkayahkan sejak tahun 2004 lagi umpama sebuah gudang permata yang banyak menyajikan pelbagai ilmu pengetahuan kepada rakyat dan penduduk di negara ini.

    Penganjurannya juga sebagai salah satu acara utama yang diadakan setiap tahun sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang sekaligus membuktikan keluhuran mercu tanda kepimpinan dan intelektualisme pemerintahan Baginda sebagai pemimpin Islam yang menitikberatkan kepentingan ilmu untuk semua lapisan masyarakat Brunei.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...