Monday, March 17, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran VIBE serlah kreativiti pelajar Kolej IGS

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Hasil kerja kreatif dan profesional pelajar-pelajar Kolej Pengajian Siswazah Anatarabangsa (IGS) telah diketengahkan semasa Minggu Media dan Pameran VIBE ke-16 yang berlangsung di The One, Batu Satu bermula hari ini hingga 20 Julai.

    Sehubungan itu, hadir untuk menyempurnakan perasmian Minggu Media dan Pameran VIBE ialah Ketua Bahagian Perhubungan dan Projek Khas Kerajaan, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah.

    Majlis turut dihadiri oleh wakil-wakil sektor kerajaan dan swasta daripada industri kreatif, media, perniagaan dan teknologi maklumat.

    Pameran VIBE diadakan dua kali setahun manakala acara Minggu Media pula adalah acara tahunan yang yang dianjurkan oleh Kolej IGS bagi mempamerkan hasil kerja kreatif dan profesional daripada pelajar-pelajar Kolej IGS.

    Pameran VIBE memberikan tumpuan kepada seni kreatif, reka bentuk, multimedia, dan juga teknologi maklumat.

    Haji Mohammad Yusri dan jemputan khas bergambar ramai selepas perasmian Minggu Media dan Pameran VIBE ke-16. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Minggu Media dan Pameran VIBE Ke-16 yang berlangsung di The One, Batu Satu bermula 17 Julai hingga 20 Julai. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    ATAS & BAWAH: Haji Mohammad Yusri diberikan penerangan mengenai projek dan hasil kerja pelajar-pelajar Kolej IGS semasa Minggu Media dan Pameran VIBE ke-16. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Manakala, Minggu Media pula adalah sebahagian daripada kurikulum Pengurusan Media Digital bagi para pelajar di Fakutli Multimedia dan Penyiaran.

    Selain daripada memberikan peluang para pelajar menguruskan acara dengan kelebihan media digital, ia juga bertujuan untuk memperkembangkan pengalaman pelajar, berkongsi pengetahuan dalam industri media serta mengendalikan pengurusan acara bersama rakan pelajar yang lain.

    Pameran VIBE dan Minggu Media mempamerkan hasil karya-karya pelajar tahun akhir dan mendedahkan mereka kepada dunia profesional dalam bidang masing-masing.

    Acara itu bertujuan bagi menyediakan platform untuk kemahiran kreatif dan profesional bagi menyediakan keperluan industri sambil mengambil kira potensi para pelajar yang turut serta dalam acara berkenaan.

    Di samping itu, ia juga adalah untuk mendedahkan program-program yang ditawarkan di Kolej IGS yang bukan hanya tertumpu dalam bidang seni kreatif, media dan teknologi malah bidang lain yang boleh digunapakai untuk masa hadapan para pelajar.

    Di sepanjang acara empat hari itu, akan diadakan tayangan filem hasil terbitan pelajar, sesi taklimat dan bengkel daripada profesional yang berpengalaman, pembentangan kerja pelajar dan pelbagai lagi aktiviti interaktif yang memeriahkan lagi acara.

    Selain para pelajar, turut menyertai aktiviti berkenaan ialah pengusaha kecil dan sederhana yang mengadakan jualan makanan dan minuman serta barang-barang aksesori buatan tangan.

    Kolej IGS berharap acara itu akan menjadi acara penting yang bukan sahaja mempamerkan bakat dan kreativiti pelajar, tetapi juga mempertahankan pendidikan seni kreatif, media, teknologi dan keusahawanan di Negara Brunei Darussalam demi menyahut seruan wawasan 2035 untuk menjadikan rakyat negara ini berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda