Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Majlis Penghargaan Ahli Jawatankuasa Tinggi GLDST dan ahli Unit-unit sesi 22/23 serta Pelantikan Ahli Jawatankuasa Tinggi GLDST sesi 23/24 Persatuan Pandu Puteri Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah berlangsung di Auditorium, UNISSA, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD), Hajah Viviyanti binti Haji Mohd Ali.
Antara lain tujuan majlis ini adalah untuk memberikan sijil penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Tinggi GLDST (Group of Leader, Deputy Leader, Secretaries & Treasurer) atau lebih dikenali dengan The Big 5 Persatuan Pandu Puteri UNISSA sesi 22/23 yang telah berjaya menjalankan tugas mereka sebagai pembimbing kepada ahli Persatuan Pandu Puteri UNISSA selama setahun.
Sijil penghargaan juga diberikan kepada ahli unit-unit di bawah pimpinan mereka.
Kemudian, majlis diteruskan dengan pelantikan Ahli Jawatankuasa Tinggi GLDST sesi 23/24.
Dengan pelantikan ini, calon-calon yang telah dipilih diharapkan menjadi pembimbing kepada Persatuan Pandu Puteri UNISSA sesi 23/24, mengambil pengalaman serta belajar untuk berkomunikasi dengan ahli-ahli Persatuan Pandu Puteri, sama ada di dalam mahu pun di luar kampus UNISSA.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UNISSA, Dr Norashikin binti Yusof, selaku pengerusi majlis selain jemputan khas yang terdiri daripada Pesuruhjaya PPPBD.
