Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Pandu sambil mengecas

    DETROIT, 30 NOV – Kru telah memasang apa yang dianggap sebagai laluan awam pengecas wayarles pertama untuk kenderaan elektrik (EV) di bawah sebatang jalan di sebelah barat pusat bandar Detroit.
    Gegelung pengecasan induktif tembaga membolehkan kenderaan yang dilengkapi dengan penerima mengecas bateri mereka semasa memandu, berhenti atau meletak kereta di atas gegelung tersebut.
    Segmen sepanjang kira-kira 400 meter di 14th Street akan digunakan untuk menguji dan menyempurnakan teknologi tersebut sebelum menjadikannya tersedia kepada orang ramai dalam masa beberapa tahun, menurut Jabatan Pengangkutan Michigan.
    Demonstrasi telah diadakan kelmarin di daerah inovasi Michigan Central, hab untuk teknologi maju dan program yang menangani halangan kepada mobiliti. Daerah ini juga merupakan tempat Ford Motor Co sedang memulihkan stesen kereta api lama di Michigan Central untuk membangunkan kenderaan pandu sendiri.
    Teknologi itu adalah milik Electreon, pembangun penyelesaian pengecasan wayarles untuk EV.

    Sebuah van elektrik memandu melepasi gegelung pengecasan wayarles yang dipasang di jalan di Detroit pada 29 November lalu. – AP

    “Seiring dengan kepakaran automotif Michigan, kami akan menunjukkan bagaimana pengecasan wayarles mendorong penerimaan EV secara meluas, menangani jarak terhad, had grid serta saiz dan kos bateri,” kata Stefan Tongur, naib presiden pembangunan perniagaan Electreon.
    “Projek ini membuka jalan kepada masa depan mobiliti sifar pelepasan, di mana EV menjadi norma, bukan pengecualian.”
    Apabila kenderaan dengan penerima menghampiri segmen pengecasan, gegelung di bawah jalan memindahkan elektrik melalui medan magnet, mengecas bateri kenderaan. Gegelung hanya diaktifkan apabila kenderaan dengan penerima melepasinya.
    “Teknologi ini pintar. Teknologi ini tahu siapa awda,” katanya.
    “Jika awda pengguna yang disahkan dan tulen, awda boleh mendapat pengecasan.” – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...