PARIS, 2 SEPT – Tumpuan peminat sukan tanah air akan terarah kepada kemampuan jaguh badminton para negara Malaysia, Cheah Liek Hou berpotensi membutirkan pingat emas pertama negara pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini hari ini.
Liek Hou layak ke final perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) buat kali kedua berturut-turut di pentas Paralimpik selepas mengetepikan musuh ketatnya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21-17 dalam aksi separuh akhir di Porte de La Chapelle Arena semalam.
Halangan terakhir pemain nombor satu dan pilihan utama temasya empat tahun sekali itu di sini adalah seorang lagi pemain Indonesia, Suryo Nugroho yang menafikan cabaran pemain negara, Muhammad Fareez Anuar 21-12, 14-21, 21-6.
Di atas kertas, Liek Hou memiliki kelebihan ke atas Suryo apabila menang 13 kali dalam 17 pertemuan sebelum ini manakala Fareez yang bakal menentukan gangsa dengan Dheva pula pernah menang dua daripada enam pertembungan.
Sementara itu, Malaysia tidak perlu menunggu terlalu lama untuk membutirkan pingat apabila atlet olahraga para negara Eddy Bernard menampilkan larian cemerlang merangkul gangsa 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal) dengan catatan 11.58 saat (s) pada hari keempat Paris 2024.
Biarpun beraksi buat kali pertama di pentas Paralimpik, prestasi atlet berusia 23 tahun itu cukup mengagumkan dengan memecahkan rekod Asia milik wakil Sri Lanka, Indika Gamage iaitu 11.75s pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun, Mei lalu. – Bernama