Tuesday, April 22, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Parti CPP Hun Sen jangka menang besar

    PHNOM PENH, 23 JULAI – Parti pemerintah Kemboja mengumumkan hari ini mereka berada di landasan kemenangan besar dalam pilihan raya di mana semua pihak pembangkang kepada pemerintah lama, Hun Sen, telah tersingkir sebelum hari pengundian.

    Bekas anggota Khmer Merah berusia 70 tahun itu telah memerintah sejak 1985 dan tidak menghadapi cabaran sebenar dalam undian ini, dengan parti-parti pembangkang ditegah, calon pencabar dipaksa berpindah serta tiada kebebasan bersuara.

    Partinya, Parti Rakyat Kemboja (CPP) dijangka akan meraih kesemua 125 kerusi, meneruskan cengkamannya ke atas kuasa dan membuka jalan untuk beliau mewariskan tampuk pemerintahan kepada anak lelakinya.

    Satu-satunya parti pembangkang serius telah disingkirkan kerana teknikalnya menjelang hari pengundian dan akan menjadi kejutan jika mana-mana daripada 17 parti kecil yang kurang berkemampuan kewangan berjaya mendapatkan kerusi.

    “Kami sedang meraih kemenangan mengagumkan,” kata jurucakap CPP, Sok Eysan, kepada AFP kira-kira dua jam selepas pengundian ditutup, dengan pengiraan sedang berlangsung.

    Keputusan awal dijangka akan diketahui dalam beberapa jam, manakala pengiraan akhir dijangka dalam beberapa minggu akan datang.

    Lebih 9.7 juta orang mendaftar untuk mengundi dalam pilihan raya ketujuh Kemboja sejak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pertama kali menyokong pengundian pada tahun 1993 selepas beberapa tahun konflik, termasuk zaman Khmer Rouge yang melumpuhkan negara itu.

    Kehadiran pengundi yang dicatat pada kira-kira jam 6 petang adalah sebanyak 84 peratus dan Hun Sen berkata ini menunjukkan sokongan terhadap kumpulan pembangkang telah runtuh.

    “Rakyat Kemboja tidak akan membiarkan kumpulan penipu menghancurkan negara ini,” tulisnya di saluran rasmi Telegram beliau. – AFP

    Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen (kanan) menunjukkan jarinya berdakwat berdiri dekat isterinya, Bun Rany selepas membuang undi di Takhmua, wilayah Kandal, Kemboja pada 23 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda